Terengganu fokus tindakan bersepadu di ‘hot spot’ dadah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengenal pasti beberapa kawasan di lapan daerah di negeri ini sebagai lokasi ‘hot spot’ penyalahgunaan dadah bagi membolehkan tindakan lebih tersusun dan berfokus dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha membendung gejala berkenaan dapat dilakukan secara lebih berkesan di peringkat komuniti.

- Advertisement -

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Bukit Jong, Tebauk, Chendering dan Kampung Baru Serada di Kuala Terengganu, selain Bukit Wan serta Jeram Hilir di Kuala Nerus.

Katanya, daerah Marang pula melibatkan Kampung Jambu Bongkok, Merchang, Kampung Undang, Kampung Pak Madah dan Kampung Kubu.

“Di Besut, kawasan yang dikenal pasti ialah Felda Tenang, Felda Selasih, Kampung Keluang, Kuala Besut (Jeti Perikanan) dan Pulau Perhentian.

“Bagi Kemaman, lokasi terbabit termasuk Bandar Seri Bandi, Tebing Sungai Seberang Tayor Hulu, Kemasik, Pasir Gajah dan Kampung Seberang Tayor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Mohd Hafiz Adam (PAS-Air Putih) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini, hari ini.

Beliau berkata, di Hulu Terengganu, kawasan yang diberi perhatian ialah Kampung Tengkawang dan Jeti Pengkalan Gawi, manakala di Setiu melibatkan Felda Chalok Barat, Kampung Merang, Kampung Sungai Tong, Kampung Jelapang dan Kampung Alur Lik.

“Di Dungun pula, tumpuan diberikan kepada kawasan Felda Kerteh 2,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri turut merangka empat tindakan khusus bagi mengurangkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit.

Beliau berkata, antara langkah diambil termasuk pemerkasaan kerjasama strategik antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain meningkatkan rondaan bersepadu.

“Selain itu, sesi dialog awam akan dilaksanakan bagi mendengar suara komuniti setempat mengenai permasalahan ini, selain operasi membanteras secara holistik bersama agensi berkaitan bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -