
KOTA BHARU: Kerajaan negeri dengan kerjasama erat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan mengambil beberapa langkah strategik bagi membangunkan rantaian nilai industri nenas merangkumi aspek pemprosesan, eksport dan penjenamaan supaya mampu berkembang sebagai kluster ekonomi di wilayah timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara pendekatan utama ialah memperkasakan konsep ‘Satu Kali Tanam, Tiga Kali Tuai.
Menurutnya, tanaman nenas bukan sahaja menghasilkan buah, malah turut mengeluarkan sulur atau anak benih serta sisa tanaman yang boleh diproses menjadi produk bernilai tambah seperti makanan ternakan dan ikan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah meningkatkan nilai ekonomi keseluruhan industri nenas di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan dari Mohd Almidi Jaafar (PAS-Bukit Bunga) di Persidangan Kali Yang Pertama (Istiadat Pembukaan Penggal) bagi tempoh Penggal Keempat, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar melalui pembangunan ladang nenas berskala besar dengan kerjasama LPNM.
Katanya, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran secara konsisten di samping mewujudkan rangkaian pembekal industri, sekali gus membuka potensi Kelantan sebagai negeri pengeluar dan pengeksport nanas.
Beliau menyatakan, konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) turut diperkukuh bagi membangunkan industri hiliran berasaskan nanas.
“Usahawan tempatan diperkasa melalui program pemprosesan dan inovasi produk seperti bongkah cendawan serta makanan ruminan berasaskan sisa nanas.
“Pada masa sama, promosi, pembangunan usahawan dan penglibatan belia dipergiat melalui program-program seperti PPAN bagi mewujudkan rantaian ekonomi lengkap daripada penanaman hingga pemprosesan,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil daripada inisiatif tersebut, keluasan tanaman nenas di Kelantan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Menurut beliau lagi, keluasan tanaman direkodkan 47.38 hektar pada 2023, diikuti 44.56 hektar pada 2024, sebelum meningkat kepada 88.13 hektar pada 2025.
“Berdasarkan perkembangan semasa dan permintaan industri, keluasan tanaman baharu bagi tahun 2026 dianggarkan mencecah sehingga 140 hektar.
“Peningkatan ini adalah hasil pelbagai bentuk bantuan dan sokongan yang disalurkan oleh LPNM kepada rakyat negeri Kelantan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan varieti nenas yang menjadi keutamaan kerajaan negeri dan LPNM Kelantan ialah MD2.
Katanya, pemilihan varieti tersebut dibuat berdasarkan nilai komersial yang tinggi, kualiti premium serta potensi besar untuk pasaran eksport.
“Nanas MD2 mempunyai permintaan pasaran yang kukuh khususnya di peringkat antarabangsa, dengan rasa lebih manis, kandungan asid yang rendah serta tekstur yang menarik.
“Ciri-ciri ini juga sesuai untuk eksport dari segi ketahanan, keseragaman buah dan penerimaan global,” katanya lagi.
Beliau menegaskan kerajaan negeri dan LPNM komited membangunkan industri nenas secara menyeluruh daripada sektor huluan hingga hiliran bagi menjadikannya pemacu ekonomi baharu di wilayah timur. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











