
SHAH ALAM: ‘Rumah Mampu Milik’ hakikatnya dilihat sebagai konsep yang semakin tersasar daripada realiti kemampuan rakyat, dengan harga kian meningkat sehingga membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Selangor.
Mantan Exco Perumahan Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, harga rumah yang ditawarkan ketika ini telah mencecah sekitar RM250,000 ke atas, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia masih boleh dikategorikan sebagai mampu milik.
“Saya lihat rumah mampu milik sekarang RM250,000 ke atas. Tak ramai yang boleh beli,” katanya yang juga Ketua Penyelaras Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).
Menurut beliau, walaupun terdapat unit yang lebih murah di pasaran, ia terhad kepada kategori tertentu seperti studio satu bilik di mana dianggarkan berharga sekitar RM110,000 hingga RM120,000.
Namun, beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berpandangan bahawa jenis kediaman sedemikian tidak memenuhi keperluan kebanyakan keluarga, khususnya kalangan keluarga mempunyai tanggungan ramai.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa isu perumahan tidak boleh dilihat secara sempit dengan hanya tertumpu kepada harga jualan semata-mata, sebaliknya pendekatan lebih menyeluruh perlu diambil dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat bagi membolehkan mereka memiliki rumah.
“Jangan bercakap tentang harga sahaja, tapi bantuan untuk membeli rumah,” katanya menyarankan antara mekanisme boleh diperkasakan termasuk skim pinjaman lebih fleksibel, bantuan pembiayaan serta model sewa beli yang memberi peluang kepada rakyat memiliki kediaman secara berperingkat.
Mengimbas pengalaman ketika berada dalam pentadbiran negeri sebelum ini, beliau berkata kerajaan pernah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank.
Menurutnya, terdapat kes di mana kerajaan bertindak membeli unit perumahan daripada pemaju dan kemudian menjualnya semula kepada rakyat melalui skim bayaran terus kepada kerajaan.
“Bank tak boleh luluskan pinjaman, jadi kerajaan beli dan rakyat bayar kepada kerajaan secara ansuran,” katanya yang turut menyentuh mengenai skim ‘Smart sewa’ di mana membolehkan penyewa mengumpul sebahagian bayaran sewa sebagai simpanan untuk dijadikan deposit pembelian rumah pada masa hadapan.
Katanya, pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi ruang kepada rakyat untuk merancang pemilikan rumah secara lebih realistik.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik pendekatan pembangunan perumahan semasa yang dilihat kurang menumpukan kepada keperluan sebenar rakyat.
Menurutnya, terdapat ketidakseimbangan antara jenis rumah yang dibina dengan permintaan pasaran, sehingga menyebabkan rumah tertentu tidak terjual, manakala rumah mampu milik pula tidak mencukupi.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menggunakan sepenuhnya tanah milik kerajaan untuk pembangunan perumahan rakyat, berbanding menjualnya kepada pihak swasta.
“Kerajaan ada banyak tanah, kenapa tak guna untuk bina rumah mampu milik? Kenapa perlu jual kepada swasta?” soalnya turut menegaskan jika tanah kerajaan dimanfaatkan secara optimum tanpa mengambil kira kos tanah dalam harga jualan, ia mampu menurunkan harga rumah secara signifikan.
Dalam konteks ini, beliau turut membandingkan pendekatan yang pernah dilaksanakan di Singapura melalui model perumahan awam, di mana campur tangan kerajaan memainkan peranan besar dalam memastikan harga rumah kekal rendah.
Beliau menegaskan bahawa isu utama perumahan di Selangor juga berkait rapat dengan harga tanah yang tinggi, sekali gus memberi tekanan kepada kos pembangunan.
Justeru, Dato’ Iskandar berpandangan bahawa kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas dan tegas dalam mengawal pembangunan perumahan agar lebih berpaksikan keperluan rakyat, bukan semata-mata keuntungan pihak tertentu.
“Kalau kerajaan fokus nak bantu rakyat, dia akan bantu rakyat. Tapi kalau fokus kepada pemaju, dia bantu pemaju,” katanya menyeru agar pendekatan lebih menyeluruh, inovatif dan berani diambil bagi memastikan rakyat benar-benar mampu memiliki rumah, selaras dengan aspirasi menyediakan tempat tinggal selesa dan berpatutan untuk semua. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











