
KUALA TERENGGANU: Isu penyelesaian tanah ladang komersial melibatkan Felda di Terengganu masih belum mencapai titik akhir walaupun Perjanjian Terma-Terma Utama yang dimeterai sebelum ini dianggap satu kemenangan kepada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, fasa yang sedang dilalui ketika ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada proses teknikal yang lebih kompleks.
“Kita belum tiba kepada titik akhir. Masih banyak tugas yang perlu dilakukan terutamanya bagi menguruskan proses pemberimilikan tanah dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zaharuddin Zahid (PAS-Bukit Tunggal) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Menurutnya, langkah seterusnya ialah Felda mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri mengikut tempoh yang dipersetujui bersama dan proses itu sedang berjalan.
“Kerajaan negeri pula komited memberikan kerjasama terbaik bagi melancarkan proses pemberian hak milik ke atas 478 lot tanah yang meliputi keluasan 16,761 hektar,” jelasnya.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, cabaran utama selepas ini ialah menyelaras urusan pentadbiran tanah di enam daerah terbabit iaitu Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Ketelitian amat penting kerana ia melibatkan aspek perundangan di bawah Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966 termasuk urusan bayaran premium serta cukai tanah.
“The harder the battle, the sweeter the victory’. Usaha ini tidak mudah kerana kita berhadapan dengan pelbagai pihak, namun fokus kita adalah memastikan status tanah kerajaan negeri yang diusahakan tanpa kebenaran sebelum ini dapat disahkan secara sah mengikut undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











