
SHAH ALAM: Isu kos sara hidup dan perumahan dikenal pasti sebagai antara cabaran paling mendesak ketika ini, khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan berpendapatan sederhana di Selangor.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, peningkatan kos hidup memberi tekanan besar kepada rakyat, termasuk mereka yang berada di luar kategori B40 dan M40.
Menurut beliau, terdapat golongan yang dilihat mempunyai pendapatan stabil, namun hakikatnya masih berdepan kesukaran untuk menampung keperluan harian.
“Ada yang gaji nampak macam cukup, tetapi sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan semasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras.
Beliau turut menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar melibatkan harga barangan, tetapi juga berkait rapat dengan akses kepada bantuan dan keperluan asas yang tidak menyeluruh.
Dalam masa sama, isu perumahan turut menjadi kebimbangan utama apabila harga rumah di Selangor semakin meningkat sehingga sukar dimiliki, terutama oleh golongan muda.
“Rumah di Selangor ini bukan lagi mampu beli, tetapi mampu tengok sahaja. Harga RM300,000 hingga RM400,000 pun sudah menjadi beban kepada ramai,” ujarnya.
Tambah bekas Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu, keadaan ini menyebabkan ramai terpaksa terus menyewa tanpa jaminan kestabilan jangka panjang dalam kehidupan.
Menurutnya, memiliki kediaman sendiri adalah aspek penting dalam membina kehidupan lebih terjamin, khususnya bagi mereka yang sudah berkeluarga.
“Selagi seseorang itu menyewa, selagi itulah dia tidak mempunyai ‘security’ dalam hidup,” katanya berpandangankerajaan perlu memberi keutamaan kepada pembangunan rumah mampu dimiliki, bukan sekadar projek wujud di atas kertas.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar mekanisme sokongan kewangan dan pembiayaan diperkukuh bagi membantu golongan muda memiliki kediaman sendiri.
Beliau juga menekankan bahawa penyelesaian kepada isu kos sara hidup dan perumahan memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk dari segi dasar, pelaksanaan serta sokongan institusi.
“Ini bukan isu kecil. Ia melibatkan kehidupan rakyat secara langsung dan perlu ditangani dengan serius,” katanya yang turut pernah menjadi Ketua Pengarah TV Al-Hijrah.
Tambah beliau, sekiranya diberi peluang mentadbir, keutamaan akan diberikan kepada penyediaan perumahan yang sesuai serta usaha menstabilkan kos sara hidup rakyat.
“Keutamaan kita ialah memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih baik, bukan sekadar bertahan,” ujarnya yang giat mengadakan dialog dengan masyarakat di lapangan.
Beliau turut menegaskan bahawa keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat perlu menjadi fokus utama dalam merangka dasar negeri.
“Pembangunan mesti memberi manfaat kepada rakyat, bukan membebankan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











