
KUALA LUMPUR: Andalusia berjaya mencatatkan pencapaian lebih 51,000 jemaah yang berdaftar setakat musim 1447 Hijrah ini, sekali gus melepasi sasaran awal 50,000 jemaah dalam usaha mencapai target tahunan mereka.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris, menjelaskan pada majlis kesyukuran yang diadakan di Wisma Andalusia di sini, hari ini sebagai penanda aras kejayaan organisasi dalam menyantuni jemaah.
Turut hadir bersama keluarga besar Andalusia yang terdiri daripada staf, mutawwif serta pegawai pemasaran, ialah wakil-wakil syarikat penerbangan serta wakil-wakil dari anak syarikat Andalusia.
Menurut Ida Riswana, sasaran asal Andalusia adalah 80,000 jemaah setahun, yang telah dirancang sejak tiga tahun lalu selepas musim COVID-19.
“Walaupun kita telah berjaya melepasi 50,000 jemaah lebih awal daripada yang dijangkakan, banyak pembaharuan dan penambahbaikan masih diperlukan supaya kita dapat menyantuni lebih daripada 80,000 jemaah,” katanya.

Beliau menambah, sasaran tahunan ini bermula setiap musim Hijrah dan untuk tahun 2026, musim baru dijangka bermula pada bulan Jun tahun hadapan seusai musim haji 1447 Hijrah.
“Dengan usaha yang lebih, insya-Allah kita mampu mencapai sasaran 80,000 jemaah dan mungkin sekali mencatat rekod baru,” jelas beliau.
Di samping itu, Ida Riswana turut memuji peningkatan prestasi pegawai pemasaran dan sistem pengurusan Andalusia yang lebih efisyen memberi nilai tambah kepada kejayaan syarikat.
“Setiap tahun, pencapaian kita semakin baik dan mencapai sasaran lebih awal kerana sistem yang sedia ada dan kepercayaan masyarakat terhadap prestasi Andalusia semakin meningkat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Andalusia tetap berpegang kepada prinsip amanah dan integriti, walaupun terdapat pelbagai kes jemaah terkandas kerana salah pilih pakej dari agensi yang tidak dikenali, termasuk penipuan wang yang berlaku di luar sana.
“Bagi mereka yang mencari pakej perjalanan yang menyeluruh dan prihatin, Andalusia mampu memastikan setiap jemaah dijaga sehingga kembali ke Malaysia dengan selamat,” Jelas beliau lagi.
Untuk itu, beliau menyeru masyarakat agar memilih agensi pelancongan yang benar-benar menjaga jemaah dengan penuh tanggungjawab dan menegaskan komitmen Andalusia untuk menyantuni setiap jemaah dengan sebaiknya. -HARAKAHDAILY 24/11/25




















