
KOTA KINABALU: Calon PERKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, pemimpin tidak boleh sekadar memikirkan soal undi, sebaliknya wajib memastikan hak rakyat dipenuhi terutama dalam isu keperluan asas seperti air bersih dan elektrik.
“Sama yang berlaku, air di kampung ini, urusan air dengan manusia ini tidak boleh dipisahkan, kita minum, kita makan, kita masak, kita mandi, kita ada anak, kita jaga orang tua, semua dengan air.
“Puluhan tahun kampung yang saya difahamkan sudah tiga atau empat generasi masih mengemis mencari air,” katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Karambunai Kasi Menang di Kampung Salimbangun, kelmarin.
Beliau berkata, keadaan itu seolah-olah menunjukkan rakyat ‘merempat’ di tanah sendiri walaupun dipimpin oleh pemimpin setempat yang berbahasa dan berasal dari kampung tersebut.
“Saya takut sebenarnya mahu mengungkapkan perkataan janji, lebih baik kita tidak berjanji tapi kita buat.
“Lebih baik kita tidak meletakkan syarat tapi insya-Allah, dengan izin Allah, bukan kita takut kecaman daripada manusia, yang kita takut kecaman daripada Allah taala.
“Maka inilah kalau kita meletakkan syarat ini, dalam kehidupan kita, kita berjanji dihadapan Allah taala, andai kita diangkat menjadi wakil rakyat, perkara pertama kita akan cuba melaksana dan mentuntaskan adalah keperluan rakyat, insya-Allah,” katanya.
Ini, katanya selari dengan manifesto PN pada Pilihan Raya Negeri kali ini bagi Tunjang ke-3 Kasi Bagus Infrastruktur Sabah dalam tawaran pertama Pelaksanaan Pelan Reset Infrastruktur Negeri (PRIN) iaitu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ketidakcekapan pengurusan infrastruktur air, jalan dan elektrik.
Dr Aliakbar turut menyentuh isu hak tanah rakyat tempatan yang menurutnya masih dianggap seperti setinggan di kampung sendiri meskipun telah menetap turun-temurun.
“Daripada datuk moyang duduk di kampung yang sama, sampai sekarang orang tempatan ini seolah-olah sebagai setinggan di kampung sendiri.
“Hak tanah ini tanah kerajaan, rakyat yang pilih kerajaan, tapi seolah-olahnya kerajaan menyusahkan rakyat,” katanya bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu lagi.
Beliau turut menyentuh kebangkitan belia Karambunai yang semakin sedar dan tidak lagi mudah diperdaya dengan janji kosong.
ADUN Lantikan penggal lalu menambah, manifesto PN Sabah menawarkan 12 tunjang utama termasuk Tunjang ke-7 yang mengandungi 15 tawaran khusus kepada anak muda, dan Tunjang ke-8 yang memberikan perhatian besar kepada wanita.
Antaranya, ujar beliau termasuk Program Profesional Wanita Sabah (PWS), memperkasa 10,000 usahawan wanita, Bantuan Lahir Sabah RM500 serta Bantuan Awal Taska dan Tadika (BATT).
Dr Aliakbar turut menegaskan komitmen beliau untuk memperjuangkan pewartaan kampung-kampung tradisi termasuk Salimbangun, Kibagu, Kuala Menggatal, Unggun, Gudon dan Tobobon bagi memastikan identiti dan hak penduduk terpelihara daripada pembangunan tidak terkawal.
“Kita akan minta diwartakan kampung ini sebagai Kampung Tradisi atau Kampung Warisan supaya ia kekal dan dibantu dari segi infrastruktur dan kemudahan asas,” ujarnya.
Beliau menjelaskan PN akan membawa budaya politik solusi yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukan politik perpecahan atau penghinaan. – HARAKAHDAILY 25/11/2025











