6 teras tindakan komprehensif untuk DUN Tanjung Batu

CERIA...Ahmad Dullah menyantuni masyarakat DUN Tanjung Batu.
- Advertisement -

KALABAKAN: Ahmad Dullah menggariskan satu pelan tindakan komprehensif merangkumi enam teras utama yang bakal dilaksanakan dalam tempoh 60 hari pertama sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa penubuhan segera Pusat Khidmat, pembentukan Sukarelawan Rakyat serta sumbangan 20 peratus elaun kepada Tabung Kebajikan DUN akan menjadi langkah awal memastikan kebajikan masyarakat terus diberi keutamaan.

“Tadbir urus secara beramanah juga akan dilaksanakan sebagai asas utama kepimpinan dengan pelaksanaan Laporan 100 Hari ADUN, Laporan Prestasi Dwitahunan serta Sesi Dialog Rakyat setiap enam bulan.

“Saya berjanji akan menganjurkan Hari Keluarga Tanjung Batu sebagai platform merapatkan hubungan masyarakat setempat,” katanya selaku calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.

Bagi merancakkan pembangunan ekonomi rakyat, Ahmad turut menggariskan usaha memperkasakan program satu rumah satu usahawan melibatkan komuniti peniaga kecil, perikanan dan gerai.

Selain itu, Program Bantuan 3B merangkumi baja, benih dan enjin bot kecil akan diperkenalkan sebagai sokongan kepada golongan nelayan dan agro setempat.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan pemerkasaan program ‘Dari Nelayan ke Pasar’ bagi meningkatkan pendapatan usahawan hiliran.

“Inisiatif ini saya yakin mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani dan dapat memperkukuh ekonomi keluarga,” ujarnya.

Katanya, aspek kekeluargaan dan kesihatan turut diberikan perhatian melalui pelaksanaan Program Keluarga Sejahtera merangkumi kelas fardu ain, bimbingan keibubapaan serta Klinik Bergerak yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk.

Ahmad turut menekankan usaha memperkasakan tabung khairat untuk melancarkan urusan kebajikan masyarakat.

Dalam teras keempat, Ahmad menegaskan pentingnya infrastruktur dan alam sekitar berkualiti dengan memberi tumpuan kepada pembaikan segera kemudahan awam di Tanjung Batu, termasuk menaik taraf jeti, keselamatan kampung dan infrastruktur nelayan bagi menyokong aktiviti harian penduduk.

“Bagi pembangunan belia pula, Program Transformasi Belia Tanjung Batu (TBTB) akan diperkenalkan sebagai platform meningkatkan kemahiran e-Dagang, pembinaan sahsiah, aktiviti ibadah serta pengembangan bakat sukan dan akademik.

“Belia merupakan aset terbesar masa depan yang perlu dibimbing secara sistematik,” ujarnya lagi.

Selain itu, katanya adalah agenda komuniti dan kejiranan seperti Program Kampung Hijau Hidup Sejahtera serta Skim Prihatin untuk warga emas, ibu tunggal dan golongan OKU.

“Saya juga akan turut menekankan kepentingan memperkasakan masjid dan madrasah sebagai pusat ilmu, ekonomi dan komuniti demi membangunkan masyarakat Tanjung Batu secara holistik,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -