
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan muda di negeri ini memiliki rumah pertama tanpa dibebani komitmen hutang jangka panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara langkah utama ialah penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.
Katanya, harga rumah ditawarkan bermula serendah RM90,000 bagi RMM Jenis A dan RM185,000 bagi RMM Jenis B.
“Sebanyak 10 peratus kuota RMM turut diperuntukkan kepada golongan belia yang telah berkahwin bagi membantu mereka memiliki rumah pertama dengan bayaran bulanan lebih rendah.
“Kerajaan Negeri komited memastikan anak muda Terengganu mampu memiliki kediaman sendiri tanpa terbeban dengan komitmen hutang jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (PAS-Sura) pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan skim pembiayaan tanpa faedah bagi semua RMM (Awam) bagi mengurangkan beban kewangan pembeli serta mengelakkan komitmen hutang jangka panjang yang tinggi.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui beberapa kementerian dan agensi termasuk Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi menambah bekalan rumah mampu milik.
“Kerjasama itu melibatkan pelaksanaan Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Penempatan Semula Nelayan (PSN) bagi menambah bekalan rumah pada harga berpatutan untuk rakyat,” katanya.
Wan Sukairi berkata, dari 2018 hingga 31 Mac lalu, sebanyak 1,880 unit rumah telah diagihkan kepada golongan belia berusia 21 hingga 40 tahun melalui pelbagai projek perumahan di seluruh negeri.
“Antara projek terlibat termasuk RMM Seri Bandi di Kemaman, RPMM Pulau Redang di Kuala Nerus, RMM Padang Setengge di Hulu Terengganu, PRR Bukit Nenas di Kuala Nerus serta beberapa projek lain di Marang, Besut, Dungun dan Kemaman,” ujarnya.
Beliau berkata, sehingga Mac lalu juga, jumlah permohonan perumahan dalam kalangan belia menerusi sistem e-Perumahan direkodkan sebanyak 33,796 permohonan, sekali gus menggambarkan permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik di Terengganu. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











