11,000 banjiri JIMBA Finale 2025

Tonggak utama Andalusia dari kiri: Ibrahim, Ida Riswana dan Md Daud melancarkan Majalah AndalusiaKu 1448H (2026/2027) pada majlis kemuncak JIMBA 2025 di Darul Muttaqin Home 31 Disember 2025.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program JIMBA Finale 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd sempena ulang tahun ke-23 syarikat itu mencatat sambutan luar biasa apabila lebih 11,000 peserta hadir secara fizikal dan mengikuti program di seluruh cawangan Andalusia di seluruh negara.

Kemuncak program yang berlangsung pada 31 Disember lalu di Darul Muttaqin Home, di sini, menyaksikan peserta dari Gua Musang, Kelantan, Rakiah Sulaiman muncul sebagai pemenang utama cabutan bertuah Bonanza JIMBA dan membawa pulang hadiah sebuah kereta BYD Sealion 7.

- Advertisement -

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, penghujung tahun bukan sekadar penutup kalendar, sebaliknya peluang membina azam baharu bersama bagi terus memelihara amanah dan memartabatkan khidmat kepada tetamu Allah.

Ida Riswana Idris.

“Apabila jam berdetik meninggalkan 2025 malam ini, saya mahu kita semua bawa satu azam baharu, satu azam bersama-sama bahawa kita semua tidak akan jadi biasa-biasa dan tidak akan berkompromi dengan amanah sehingga 30 hingga 50 tahun akan datang,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Majlis tersebut turut menampilkan pelancaran dan perasmian Majalah AndalusiaKu 1448H (2026/2027), selain sesi penghargaan jemaah, tawaran eksklusif serta pelbagai cabutan bertuah.

Menurut Ida Riswana, segala usaha pengembangan Andalusia perlu berpaksikan niat yang betul dan tekad untuk menyantuni duyufur Rahman, di samping berani berfikir lebih besar demi kebaikan umat.

“Kita tidak akan takut untuk sentiasa berfikir lebih besar daripada ini asalkan niat kita betul untuk menyantuni duyufur Rahman. Insya-Allah kita percaya apa yang kita bawa ini adalah untuk kebaikan umat,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan hasrat Andalusia untuk melihat umat Islam lebih megah dan gagah dalam sektor perniagaan, termasuk industri pelancongan umrah yang semakin mencabar.

“Saya ingin melihat umat Islam megah, bangga dan gagah di persada perniagaan. Bukti kejayaan kami adalah kerana sokongan daripada anda semua,” jelasnya.

Dalam sidang media selepas program, beliau berkata penyertaan JIMBA Finale 2025 dianggap antara yang paling menggalakkan apabila lebih 11,000 peserta hadir di semua cawangan Andalusia dengan penyertaan seramai lebi 17,000 orang di seluruh negara.

“Penyertaan tahun ini memang sangat menggalakkan apabila lebih 11,000 peserta bersetuju untuk hadir di semua cawangan Andalusia,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, penganjuran program seperti JIMBA bertujuan memperkenalkan lebih banyak pakej Andalusia, merapatkan hubungan syarikat dengan masyarakat setempat serta memastikan jenama Andalusia diterima di seluruh negara.

“Tujuan utama penganjuran ini adalah untuk memperkenalkan lebih banyak pakej Andalusia dan mendekatkan kami dengan orang ramai di negeri masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, pemilihan pemenang disusun supaya setiap negeri mempunyai wakil bagi memperluas keterlibatan masyarakat.

“Sebab itu dalam pemilihan, kita pastikan setiap negeri ada pemenang kerana kita mahu Andalusia diterima di semua pelusuk Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, Karnival JIMBA merupakan inisiatif jangka panjang selama 10 tahun bermula 2025 hingga 2035, dengan ganjaran yang dirancang menjadi lebih menarik dan bernilai pada setiap tahun.

“Karnival JIMBA ini adalah program 10 tahun dan setiap tahun kita jangkakan hadiah yang lebih menarik dan bernilai,” katanya.

Beliau berkata sasaran seterusnya adalah untuk memperluas capaian jemaah sehingga mencecah 80,000 orang melalui kesinambungan pertandingan JIMBA yang membantu syarikat memasuki kawasan baharu.

“Sasaran kita selepas ini adalah untuk terus memperluas capaian sehingga mencecah 80,000 jemaah,” katanya.

Kiosk layan diri Andalusia

Selain itu, Andalusia turut merancang memperkenalkan kiosk layan diri bermula 2026 secara berperingkat bagi memudahkan urusan pelanggan termasuk pembelian pakej umrah dan pelancongan.

“Kiosk ini akan ditempatkan di lokasi awam dan kita akan mulakan secara berfasa bermula di Lembah Klang,” ujarnya.

Menurut beliau, penggunaan kiosk layan diri memberi kepuasan kepada pelanggan yang mahu menguruskan pembayaran dan cetakan resit secara fizikal.

“Ada pelanggan yang lebih berpuas hati apabila mereka boleh buat sendiri urusan seperti pembayaran dan cetakan resit melalui kiosk,” jelasnya.

Mengulas jangkaan pelaksanaan, beliau berkata kiosk berkenaan berpotensi dilancarkan seawal suku pertama tahun hadapan selepas ujian awal di ibu pejabat.

“Sekarang ini kita sudah bersedia untuk pelancaran dan mungkin boleh dilakukan sekitar bulan Mac,” katanya.

BYD Sealion 7 milik Rakiah Sulaiman

Detik kemuncak Bonanza JIMBA Finale 2025 menjadi kenangan manis buat Rakiah Sulaiman dari Gua Musang, Kelantan apabila namanya diumumkan sebagai pemenang hadiah utama berupa sebuah kereta BYD Sealion 7, di sini, malam tadi.

Rakiah menyaksikan majlis tersebut secara langsung dari Andalusia cawangan Gua Musang, tetapi tiga orang anaknya yang kebetulan berada di Kuala Lumpur hadir ke majlis tersebut selain mahu memeriahkan acara.

“Kakak saya datang ke sini sebab cuti sekolah. Bila tahu ada cabutan bertuah, masing-masing yang ada kelapangan pun pergilah. Kami sebenarnya sekadar menemani, tetapi tidak sangka rezeki Allah datang hari ini apabila mak kami menang,” kata salah seorang anaknya, Nur Liyana Othman.

Beliau berkata, keluarganya hampir pulang sebelum nama ibunya diumumkan, menyebabkan mereka masih terkejut dan berdebar dengan kemenangan itu.

“Kami hampir hendak balik tadi, tiba-tiba nama mak dipanggil. Sampai sekarang masih berdebar dan tidak sangka rezeki datang secara tiba-tiba,” ujarnya.

Tambahnya, ibunya merupakan peniaga kecil dan pernah menunaikan ibadah umrah, selain menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki yang telah ditentukan Allah SWT.

“Mak saya peniaga kecil dan ini umrah yang kedua. Rasa seperti doa mak dimakbulkan. Rupanya rezeki itu memang tidak ke mana dan sampai kepada orang yang Allah tetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2026

- Advertisement -