Iftar ala Tanah Suci tarik 1,000 jemaah

Masjid Imanul Faizin atau dikenali sebagai Masjid Andalusia menjadi tarikan jemaah kerana keunikan serta keindahan reka bentuknya yang mendapat inspirasi daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Masjid Imanul Fa’izin atau lebih dikenali sebagai Masjid Andalusia di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini terus menyantuni kira-kira 1,000 jemaah setiap hari menerusi penganjuran majlis berbuka puasa ala Makkah dan Madinah sepanjang Ramadan tahun ini.

Program yang memasuki tahun ketiga itu menghimpunkan masyarakat setempat serta pengunjung luar yang singgah untuk menikmati juadah tradisi Kelantan dalam suasana penuh kebersamaan di dataran masjid.

Pengasas masjid, Ibrahim Mat Sin berkata, konsep berbuka di dataran terbuka itu memberi pengalaman seolah-olah berada di dataran Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

- Advertisement -
Ibrahim Mat Sin

“Para jemaah akan duduk bersila bersama keluarga dan sahabat, berkongsi rezeki dalam suasana yang mengingatkan kepada pengalaman berbuka puasa di tanah suci.

“Saban tahun, program ini semakin mendapat perhatian bukan sahaja masyarakat setempat malah pengunjung dari luar kawasan yang ingin merasai sendiri suasana berbuka puasa ala Makkah dan Madinah,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berkata, penyediaan juadah dilakukan secara gotong-royong membabitkan kira-kira 40 petugas setiap hari.

Menurutnya, bagi melancarkan urusan, empat pasukan diwujudkan termasuk jawatankuasa yang merancang dan membuat tempahan, pasukan memasak, pasukan hidangan dan melayan tetamu serta pasukan persiapan tempat dan pembersihan.

Selesai berbuka, jemaah menunaikan solat Maghrib berjemaah dan mereka yang berkelapangan boleh meneruskan ibadah dengan solat Isyak, diikuti solat sunat Tarawih serta moreh.

“Dalam usaha mengimarahkan waktu Subuh, jawatankuasa masjid turut mencadangkan penyediaan sahur kepada jemaah yang hadir solat Subuh berjemaah.

“Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai memulakan hari dengan langkah ke masjid sekali gus menjadikan Ramadan bukan hanya hidup di waktu malam tetapi bercahaya di waktu fajar,” ujarnya.

Untuk rekod, iftar pertama di masjid berkenaan berlangsung pada 2024 selepas ia dibuka kepada orang ramai pada hari pertama Ramadan, dengan hampir 2,000 jemaah menunaikan solat Tarawih pertama di situ.

Masjid yang menelan kos pembinaan lebih RM7 juta itu mula dibina pada 2020 dan tular kerana keunikan serta keindahan reka bentuknya yang mendapat inspirasi daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.

Idea pembinaannya tercetus hasil pengalaman Ibrahim menziarahi banyak masjid luar negara termasuk masjid milik Sultan Qabus di Oman serta Masjid Biru di Turkiye yang terkenal. -HARAKAHDAILY 22/2/2026

- Advertisement -