Jenama keamanan dari Gedung Putih

- Advertisement -

ISU ‘BOARD of Peace’ perlu ditanggapi dengan neraca wahyu. Ini merujuk kepada al-Quran, Surah al-Maidah ayat 51-52.

Dalam ayat 51, Allah SWT menegaskan larangan supaya orang beriman tidak memberikan wala’, kesetiaan dan sokongan utama kepada Yahudi dan Nasrani sehingga mengatasi kesetiaan kepada umat Islam.

Manakala ayat 52, Allah SWT menggambarkan golongan yang berpenyakit hati (munafiq), mengambil jalan pintas berdamping dengan musuh kerana takut ditimpa bencana.

- Advertisement -

Dalam konteks semasa, Board of Peace bukanlah jenama neutral. Ia dianjurkan oleh Presiden Trump yang terkenal pekat Zionisnya.

Rancangan Trump ini kemudian dibawa ke Majlis Keselamatan PBB dan berjaya mendapat mandat antarabangsa.

Pelaksana lapangannya pula ialah ‘International Stabilization Force’ (ISF) sebagai tulang belakang kepada pelan menyeluruh pentadbiran AS pasca konflik di Semenanjung Gaza. Objektif utamanya ialah demiliterisasi HAMAS.

Justeru, Board of Peace bukanlah pelan keamanan hakiki, tetapi hanyalah jenama yang menjadi tunggangan Zionis untuk mengambil alih pemerintahan Gaza daripada tangan orang Islam atas nama kestabilan.

Sebagai refleksi, orang Islam yang menyokong Board of Peace atas dasar takut atau kepentingan politik wajar bermuhasabah.

Ayat 51 al-Maidah memberi amaran mengenai wala’ yang salah iaitu kepada golongan kuffar yang menentang, ayat 52 pula menyingkap mentaliti mengalah yang takut menjadi sasaran lantas memilih sikap bacul dengan bersekutu dengan musuh.

Ketakutan seperti ini akan membawa kepada nifaq, mencari perlindungan pada kuasa yang sama sedang menekan umat.

Iktibar sirah sangat jelas.

Ketika Nabi SAW memegang kuasa di Madinah, Baginda tidak bersekutu dengan kerajaan yang mengangkat syirik dan kezaliman. Bahkan tidak juga menunggu menjadi kuasa besar untuk berdakwah.

Sebelum Fathu Makkah lagi, Baginda telah mengutus surat kepada raja-raja besar termasuk pemerintah Rom dan Parsi serta pemimpin di sekitar Jazirah Arab, juga Mesir dan Habsyah.

Walhal, saiz Madinah ketika itu terlalu kecil berbanding kerajaan besar yang ada. Dengan jumlah tentera yang sedikit, kelengkapan perang yang serba kekurangan dan ekonomi yang baru membangun, hal ini sama sekali tidak dijadikan alasan untuk tunduk kepada kuasa besar.

Perhatikan isi surat Baginda yang cukup lantang dan berprinsip, mengajak kepada Islam, menjanjikan keselamatan jika menerima kebenaran. Prinsip Islam diutamakan berbanding ‘mileage’ politik peribadi.

Baginda sedar akan risiko ancaman dan serangan, namun kesediaan berkorban dizahirkan. Sanggup berperang dan mati syahid, asalkan risalah berjaya disampaikan.

Inilah kewajipan yang perlu dilaksana oleh pemimpin Islam. Kita ada sesuatu yang perlu disampaikan kepada dunia, iaitu Islam dan seluruh ajarannya.

Kerana itu, saya menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Trump di rantau Nusantara ini. Kedatangan beliau bukan semata bawa diri, tetapi segala ideologi sesat penjajah turut dibawa ke sini.

Malangnya pemimpin kita bersikap lembik tengkuk dan bermentaliti mengalah apabila menjemput beliau seterusnya mengikat perjanjian dagang (ART) yang dilihat boleh memperjudikan kedaulatan negara.

Maka apabila ada pemimpin Islam yang bersama Board of Peace, lagilah jelas telah melacurkan prinsip Islam dalam soal wala’ demi kepentingan duniawi.

Selepas beberapa negara Arab berjaya ‘dijinakkan’, kini keterlibatan Indonesia dan sikap presidennya terhadap Trump memberi isyarat trend normalisasi Israel sedang dibawa ke negara-negara Islam Asia Tenggara.

Oleh itu, cermatilah di mana letaknya wala’ kita dan kepada siapa kita sandarkan rasa aman. Wahyu telah menetapkan sempadan, sirah telah menunjukkan pedoman.

Tinggal lagi, adakah kita mahu memilih prinsip atau memilih selamat yang sementara.

AZIZ AZHAR – HARAKAHDAILY 22/2/2026

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/18GCPvZfvz/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -