Adegan intim atas katil persembahan teater: UM mohon maaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persembahan teater yang turut menyelitkan adegan intim ‘soft porn’  atas katil dalam satu pertandingan Karnival Teater (Karviter) di Universiti Malaya (UM) didapati tidak selaras dengan skrip asal yang dipertandingkan.

- Advertisement -

Pihak UM dalam kenyataan rasminya berkata, berdasarkan syarat dan peraturan Karviter, setiap persembahan sepatutnya bebas daripada unsur negatif, provokasi atau kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.

“Hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan, dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan juga menegaskan, persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan agar kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, Universiti Malaya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul, sambil menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program,” ujar kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan tersebut, pihak UM tampil memberikan penjelasan dan memandang serius perkara tersebut serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan orang ramai.

Sejak semalam, satu persembahan teater yang didakwa dipentaskan di sebuah dewan di UM menjadi tular di media sosial apabila dikatakan memaparkan adegan ghairah di atas katil dan ramai kalangan netizen mendakwa, ia berunsur ‘soft porn’ dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian yang terbilang itu.

Isu tersebut turut menarik perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang menerusi media sosialnya mempersoalkan kewajaran mengenai isu berkenaan.

“Adakah kita sedang melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi tetapi akhlaknya rendah? Sangat memalukan untuk saya kongsikan (video) adegan itu yang disertai jeritan (sorakan) penonton,” katanya.– HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -