
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pelaksanaan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 sebagai penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, anugerah itu dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Katanya, setiap pelajar yang layak akan menerima insentif kewangan sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan.
“Bagi kelayakan SPM, pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya sembilan A, manakala STAM perlu mencapai pangkat mumtaz dan STPM pula dengan keputusan 4A,” katanya.
Menurut beliau, anugerah tersebut terbuka kepada anak Kelantan yang menduduki peperiksaan di dalam atau luar negeri serta pelajar bukan kelahiran Kelantan yang mengambil peperiksaan di negeri ini.
Tambahnya, permohonan dibuka bermula 9 April 2026 dan akan ditutup pada 19 April ini melalui pejabat atau laman sesawang YIK.
“Ini bukan sekadar ganjaran, tetapi simbol galakan kepada generasi muda untuk terus mencapai kecemerlangan,” ujarnya.
Luas peluang TVET ke Tunisia dan Algeria
Kerajaan Negeri Kelantan juga terus memperluaskan peluang pendidikan tinggi termasuk dalam bidang teknikal dan TVET serta membuka laluan baharu ke beberapa negara luar.
Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan, antara destinasi baharu ialah Universiti Zaituna di Tunisia yang menawarkan tempat kepada kira-kira 40 pelajar.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan penempatan pelajar ke Algeria melalui institusi Jamiah Al-Quds.
“Selain itu, kita turut menerima tawaran ke Korea dalam bidang TVET serta sedang mencuba membuka laluan ke Jerman dalam bidang teknikal,” katanya.
Menurut beliau, permohonan kini dibuka kepada pelajar yang layak dan usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memperluaskan akses pendidikan global.
Tambahnya, pihaknya juga sedang berunding dengan beberapa negara lain termasuk Emiriah Arab Bersatu bagi menambah lagi peluang kepada pelajar Kelantan. – HARAKAHDAILY 9/4/2026




















