
BALING: Sebarang maklumat dan informasi berkenaan Kerajaan Negeri untuk disampaikan kepada masyarakat di bawah, perlulah tepat dan sahih, demikian pesan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Justeru katanya, setiap Pengerusi, Setiausaha mahupun Ahli Jawatankuasa Majlis Ketua Kampung (MKK) perlu melengkapkan diri dengan informasi terkini yang boleh diperolehi dari halaman media sosial Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), TV Kedah dan lain-lain.
“Kalau maklumat yang kita sampaikan tidak betul, pasaran kita boleh runtuh. Jadi untuk elak pasaran runtuh, maklumat kena betul. Jangan cerita perkara yang tidak betul, maklumat kena tepat,” katanya pada pada Majlis Penyampaian Watikah MKK 2026, kelmarin.
Selain itu ujarnya lagi, untuk menjadi pemimpin yang baik serta adil, pastikan aduan atau maklumat diperolehi tidak hanya daripada individu tertentu sahaja, sebaliknya dari sumber ramai orang.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak memaklumkan, bekas Menteri Besar Kedah itu, akan membuat semak silang setiap maklumat yang beliau berikan.
“Dia akan ‘cross-check’ semua ‘information’ yang saya bagi. Kita bagi dia satu maklumat, dia dah ada tiga hingga empat maklumat sebelum dia telefon tanya kita. Jadi keputusannya jarang salah sebab dia tidak mendengar maklumat dari seorang sahaja.
“Kita pun kena begitu. Informasi kita kena ‘cross check’, tiap-tiap orang yang mai habaq (beritahu) atau mengadu belum tentu betul. Kemungkinan maklumat tersebut mempunyai kepentingan diri. Ambil pandangan dari orang lain juga,” nasihat beliau lagi.
Pada majlis yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) itu, Sanusi juga mahukan semua MKK menghindari sifat sombong dan santuni masyarakat kampung dengan sebaiknya.
Kata beliau, kalau mengamalkan perangai sombong tidak tentu hala, tidak mustahil kepercayaan rakyat bawahan kepada Kerajaan Negeri termasuk Menteri Besar sendiri akan hilang.
“Ada satu parti tu, ajak ahlinya buat sesuatu yang di luar kebiasaan kerana dibimbangi 20 tahun akan datang, parti itu akan hilang. Tapi lani (sekarang) pun dah ghuyup (hilang) dah.
“Perangai lama tu orang tak suka, sekarang ni langit terbuka, maklumat di hujung jari, orang boleh tengok kelaku (perangai) depan mata, orang perhati, tak lama ghuyup lah.
“Samalah dengan kita, kalau ulang perangai sombong tak tentu hala, akan ghuyup juga. Kalau tuan-tuan ghuyup, saya pun ghuyup jugalah,” tambah beliau.
Tegasnya lagi, apabila bercakap, gunalah bahasa yang boleh difahami untuk mengelak salah faham yang boleh menimbulkan kemarahan.
“Saya sendiripun jangan berlagak sangat, cakaplah elok-elok sikit. Depa (mereka) kata. Ada orang cakap, guna bahasa berbunga-bunga, tapi siapa pun tak faham. Sedap dengar sahaja tetapi orang tak faham,” gurau beliau.
Dalam pada itu Pengerusi MKK juga disarankan agar jangan memonopoli kuasa, sebaliknya berbincang bersama Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa dalam membuat sebarang keputusan.
Kata beliau lagi, tidak semua orang mempunyai fahaman serta pandangan yang sama, termasuk di kalangan ahli sendiri.
“Rambut sama hitam, hati lain-lain. Monopoli kuasa menyebabkan keputusan yang kita buat tanpa pertimbangan orang lain. Sebaiknya kena ambil semua pertimbangan. Mesyuarat elok-elok, apa tindakan yang perlu diutamakan atau sebaliknya,” nasihatnya.
Sanusi juga memaklumkan, sebanyak 884 rumah telah berjaya diperbaiki di mana sasarannya dikenal pasti oleh Penghulu dan MKK sendiri.
Kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh Penghulu dan MKK itu sangat baik, namun terdapat rungutan kononnya projek berkenaan diberi keutamaan kepada saudara mara atau adik beradik MKK sendiri.
“Jadi bagaimana nak menghadapi hal ini, sedangkan memang kebetulan adik-beradik Pengerusi MKK itu daif sungguh. Kalau kita tak bagi sumbangan baiki rumah kerana kawan tu adik-beradik Pengerusi MKK, itu zalim sedangkan memang dia susah sungguh.
“Kalau ‘repair’ pula, orang cop pilih kasih. Macamana nak buat? Itulah antara sebab mengapa kita dilarang memonopoli kuasa. Apabila keputusan dibuat dalam mesyuarat dan memberi keutamaan kepada sewajarnya, tidak timbullah isu seperti itu, walaupun adik-beradik sendiri,” ulas beliau.
Dalam pada itu katanya, sebagai jambatan antara kerajaan dan orang ramai, MKK perlu mengekalkan kualiti kerja serta memberi perkhidmatan terbaik untuk negeri Kedah.
Katanya, MKK bukan sahaja penyelesai masalah penduduk kampung, tetapi juga penyampai maklumat kepada orang ramai.
“Bukan sahaja bawa maklumat dari bawah ke peringkat atas, tetapi juga ambil maklumat negeri untuk disampaikan ke peringkat bawah. Tugas MKK pun tidak boleh kira parti, latar belakang, kaum, agama atau sebagainya.
“Laksanakan sebaiknya sejajar dengan misi Kedah ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’. Jangan elergik dengan warna. Warna apa-apa pun. Ikut la depa nu sokong warna apapun, tetap akan mendapat ‘services’ dari kita seperti mereka itu juga adalah kita,” tegasnya lagi.
Sementara ketika ditanya media, kenapa beliau tidak menyentuh hal berkaitan isu-isu politik dan pilihan raya pada perjumpaan itu, Sanusi menjelaskan beliau tidak akan menggunakan platform program kerajaan untuk tujuan tersebut
Katanya, walaupun Pengerusi dan Setiausaha MKK sebahagian besarnya ketua cawangan atau pemegang jawatan dalam parti politik, namun perkara tersebut tidak sesuai dibincangkan pada program anjuran Kerajaan Negeri.
“Ini petak kerajaan, tak boleh nak sangat cakap pasal pilihan raya, walaupun yang memegang jawatan Pengerusi dan Setiausaha MKK tu orang politik,” tegasnya lagi.
Dalam masa yang sama beliau berkata, setakat ini tiada apa-apa isu yang melibatkan MKK, malah mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Ujar beliau, sebahagian besar MKK sesi lalu dikekalkan, cuma beberapa kes tertentu melibatkan kematian, sakit atau uzur sahaja diganti dengan orang lain.
“Yang saya pesan-pesan dan buat peringatan pada ucapan saya tadi, itu amalan biasa. Tak ada pun MKK yang pilih ‘bulu’ dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/4/2026











