Kelantan kumpul maklumat impak cuaca kering

Terhadap pertanian

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat berkaitan kesan cuaca kering, termasuk impak terhadap petani dan pengeluaran hasil padi di Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan kerajaan merancang tindakan intervensi yang lebih berkesan demi memastikan pengeluaran padi negeri kekal stabil.

“Walaupun terdapat beberapa kawasan yang terjejas akibat kekeringan dan fenomena El Nino, kesannya masih terkawal kerana petani serta agensi berkaitan telah mengambil langkah persediaan awal,” katanya selepas merasmikan Bengkel Koperasi Pertanian Al Falah di Baruh Padi Alami, di sini.

Menurutnya, kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut diperkukuh bagi memastikan maklumat perubahan cuaca dapat disalurkan kepada petani supaya jadual penanaman dapat dirancang dengan lebih berkesan.

“(Ia) Supaya proses pembenihan dan penanaman tidak berlaku ketika cuaca terlalu kering,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai langkah intervensi, termasuk pengagihan pam bergerak kepada petani melalui Pusat Khidmat DUN (PKD), selain bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi mengalihkan air ke kawasan sawah yang terjejas.

“Kerajaan melalui inisiatif bantuan Sejahtera Tani terus komited membantu petani yang terjejas akibat faktor cuaca dan peningkatan kos operasi pertanian,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2026

- Advertisement -