
ROMPIN: “Alhamdulillah, Jamuan Rakyat Aidilfitri DUN Bukit Ibam 1447 berlangsung dengan meriahnya,” kata Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad.
Menurutnya, pelbagai lapisan masyarakat dari dekat dan jauh datang menjamu selera sambil bersilaturahim.
“Ada yang datang dari Selancar sampailah ke Sarang Tiong turut hadir. Dari Jelebu dan Gemas, Negeri Sembilan pun ramai yang hadir, Subhanallah,” ujarnya menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Katanya, walaupun hidangan makanan dan minuman yang disediakan lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya, tetapi sebahagian besarnya telah sold out awal kerana kehadiran di luar jangka.
“Apapun, semua yang hadir dapat menjamah makanan, Alhamdulillah,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin.
Sehubungan itu, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi hadir memeriahkan majlis yang diadakan di sebelah tapak Pasar D’Sawit Felda Keratong 4 itu, semalam.

Nazri juga merakamkan jutaan terima kasih kepada AJK Jentera Pilihan Raya PAS DUN Bukit Ibam dan semua PAS cawangan dalam DUN tersebut yang telah bertungkus lumus menjayakan program tahunan itu.
“Terima kasih juga kepada para penyumbang yang sentiasa membantu saban tahun.
“Ada yang sumbang seekor lembu, ada yang sumbang 10 ekor ayam, ada yang sumbang dua ekor ayam, ada yang sumbang beras, gula dan macam-macam lagi, selain wang tunai dan tidak kurang juga yang sanggup menyumbang masa dan tenaga yang tidak sedikit,” katanya.
Beliau berkata, ada yang sanggup bekerja dari pagi sampai larut malam walaupun tanpa sebarang upah.
“Semoga segala kebaikan tuan puan akan menjadi pemberat di atas Mizan Hasanat masing-masing di Mahsyar kelak, Aamiin Ya Rabbal Alamin.
“Apa yang saya mampu hanyalah mengungkapkan kepada kalian, jazakumullahu khairal jaza’,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/4/2026











