
PASIR PUTEH: Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran menubuhkan koperasi masing-masing sebagai langkah strategik memperkukuh ekonomi setempat serta memanfaatkan potensi keusahawanan yang tersedia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, mana-mana DUN yang belum mempunyai koperasi perlu mengambil tindakan segera untuk menubuhkannya dalam masa terdekat.
Menurutnya, ketika ini terdapat Pusat Khidmat DUN (PKD) yang sudah memulakan langkah tersebut, namun masih ada yang belum berbuat demikian.
“Jadi, kita mahu semua DUN memastikan perkara ini dilaksanakan segera,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keusahawanan dan Koperasi anjuran Pusat Kajian Strategik (PKS) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini.
Beliau menjelaskan, setiap PKD mempunyai jentera yang besar dan berpotensi untuk menggerakkan penubuhan serta pengurusan koperasi secara lebih berkesan.
Tambahnya, pelbagai peruntukan keusahawanan yang disalurkan melalui portfolio Exco boleh dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan koperasi tersebut.
“Sebagai contoh, di bawah Portfolio Keusahawanan mempunyai peruntukan melebihi RM5 juta untuk pembangunan usahawan. Selain itu, terdapat juga dana khusus di bawah Portfolio Pertanian untuk pembangunan usahawan tani.
“Di bawah Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita serta Portfolio Belia juga terdapat pelbagai inisiatif serta peruntukan yang boleh digembleng bersama,” ujarnya lagi.
Beliau menyatakan, saranan itu dilihat penting bagi mewujudkan koperasi sebagai entiti ekonomi berasaskan komuniti yang mampu menyokong pelbagai aktiviti jentera di kawasan masing-masing.
“Dengan adanya koperasi, kita bukan sahaja menyasarkan peningkatan ekonomi dalam kalangan usahawan, tetapi juga menjana pendapatan kepada DUN secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu dalam ucapan penutup program berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Mohamad pula berkata, sepanjang program berlangsung pelbagai idea bernas, model praktikal serta perkongsian pengalaman telah dibentangkan kepada peserta.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan bahawa golongan belia di negeri ini mempunyai keupayaan besar untuk berjaya dalam bidang keusahawanan sekiranya diberikan panduan serta sokongan yang berterusan.
“Sepanjang program, pelbagai idea bernas, model praktikal serta perkongsian pengalaman telah dibentangkan,” katanya.
“Ini membuktikan bahawa potensi belia Kelantan dalam bidang keusahawanan sangat besar, jika dipandu dengan ekosistem yang tersusun dan sokongan berterusan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus komited dalam memperkasa agenda pembangunan belia melalui pendekatan yang lebih strategik, inklusif serta berimpak tinggi.
“Insya-Allah, kerajaan negeri komited untuk terus memperkasa agenda pembangunan belia melalui pendekatan strategik, inklusif dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap segala input dan perkongsian sepanjang seminar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta dalam usaha memperkukuh kedudukan belia sebagai pemacu ekonomi negeri. – HARAKAHDAILY 2/4/2026




















