
ALOR SETAR: Kenaikan harga diesel melebihi 100 peratus dalam tempoh singkat bukanlah isu kecil, sebaliknya akan memberi kesan kepada kenaikan kos seperti pengangkutan, makanan, pertanian, logistik dan lain-lain.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ibrahim Ismail berkata, walaupun tahu kesan tersebut akan berlaku, kerajaan tetap meluluskan kenaikan besar itu tanpa mengadakan pelan mitigasi yang kukuh.
“Kesan kenaikan akan ditanggung oleh rakyat. Ini membuktikan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PMX gagal mengurus kenaikan harga diesel secara bertanggungjawab.
“Dasar diumum, tetapi kesannya tidak dikawal. Akhirnya rakyat menanggung beban,” kata beliau menyifatkan perkara itu bukan reformasi, tapi kecuaian dasar, dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya lagi, sungguhpun rakyat mendapat manfaat bantuan sebanyak RM100, tetapi ia tidak mencukupi malah tidak menyelesaikan masalah yang ditanggung mereka.
“Kos operasi meningkat berlipat kali ganda, namun bantuan bersifat sekali beri. Ini bukti kerajaan tidak faham realiti ekonomi rakyat. Sedangkan kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada pengguna.
“Dari kos jentera pertanian, pengangkutan barangan asas, hingga kos bahan bakar mayat juga naik. Hidup susah, mati pun susah,” bidas beliau.
Tambah Ibrahim lagi, sebagai negara pengeluar minyak, PETRONAS dijangka bakal mendapat ‘durian runtuh’ hasil kenaikan harga minyak
yang semestinya dividen kepada kerajaan juga akan meningkat.
Tegas Ibrahim, kerajaan sepatutnya menjadi pelindung kepada rakyat, dilihat lebih rela memilih serta membiarkan harga barangan dan kos keperluan melambung, seolah-olah keuntungan industri lebih utama daripada kebajikan rakyat.
“Alasan ketirisan juga tidak lagi kukuh. Apabila harga diesel tempatan lebih tinggi daripada Thailand, logiknya penyeludupan menurun. Jadi kenapa rakyat masih ditekan?
“Hakikatnya mudah. Dasar lemah. Pelaksanaan gagal. Rakyat jadi mangsa. Petani, nelayan, pengusaha kecil semua terhimpit. Harga barang naik. Tiada kawalan, tiada perlindungan,” tegas pengamal undang-undang itu lagi.
Namun tegasnya, apa yang boleh dilihat kini, Kerajaan Madani bukan sahaja lambat bertindak, tetapi gagal membaca kesan dasar sendiri.
“Rakyat tidak perlukan alasan, tetapi perlu tindakan. Jika kerajaan terus gagal, ini bukan lagi isu diesel tetapi krisis kepercayaan terhadap kepimpinan negara,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











