
KUALA NERUS: Perpecahan dalam kalangan orang Melayu dikenal pasti sebagai punca yang meruntuhkan kekuatan mereka sehingga membawa kepada penjajahan kuasa asing.
Ahli akademik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, perebutan kuasa dalam kalangan pembesar Melayu membuka ruang kepada penjajah untuk datang dan membawa budaya mereka.
Beliau berkata, keadaan itu mencetuskan proses pembaratan dan sekularisasi yang memisahkan agama daripada negara serta mengubah cara hidup masyarakat Melayu.
“Apabila perkara ini berlaku, orang Melayu mula menjadi lemah,” ujar beliau dalam Forum Maghrib Khas, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurutnya, Tanah Melayu kemudian dijajah oleh beberapa kuasa besar termasuk Belanda, Portugis, British dan Jepun dalam tempoh yang panjang, sekali gus mempercepatkan proses pembaratan dan sekularisasi.
Katanya, selepas Perang Dunia Kedua, British kembali dan memperkenalkan Malayan Union sebagai kemuncak usaha untuk mengambil hak orang Melayu.
Bagaimanapun beliau berkata, ketika itu berlaku kebangkitan dan penyatuan orang Melayu atas dasar agama dan bangsa bagi menentang usaha berkenaan.
“Sejarah menunjukkan orang Melayu boleh bersatu atas nama agama dan bangsa apabila perkara itu diperkotak-katikkan oleh pihak luar,” imbas beliau.
Menurut beliau, keadaan sama dilihat berlaku pada masa kini selepas negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, antara cabaran utama adalah kesukaran orang Melayu untuk bersatu, sekali gus menjejaskan usaha mendaulatkan perkara asas termasuk bahasa Melayu.
Tambahnya, kedudukan bahasa Melayu kini jauh berbeza berbanding dahulu yang pernah menjadi lingua franca dan digunakan secara meluas oleh masyarakat luar.
Dr Ridhuan menjelaskan, pada suatu ketika dahulu, selepas penerimaan Islam hampir 1,000 tahun lalu, orang Melayu mencapai kegemilangan sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa perantara utama.
Katanya, apabila laluan laut mula diterokai dan perdagangan berkembang, orang luar yang datang ke Alam Melayu sanggup mempelajari bahasa Melayu kerana keperluan interaksi.
Namun kesali beliau, keadaan kini berubah apabila orang luar tidak lagi bergantung kepada bahasa Melayu seperti sebelum ini.
“Perkara ini berulang sehingga ke hari ini apabila perpecahan terus berlaku dalam kalangan orang Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











