Perbalahan isu kecil punca orang Melayu berpecah

‘Perlu beza perkara pokok, furuk’

- Advertisement -

KUALA NERUS: Perbalahan dalam kalangan orang Melayu dikenal pasti berpunca daripada kekeliruan membezakan perkara pokok dan cabang sehingga mencetuskan perpecahan.
 
Pendakwah, Shah Kirit Kalkulal Govidji berkata, masyarakat Melayu hari ini banyak berbalah dalam perkara furuk yang sepatutnya dibenarkan berbeza pandangan, sedangkan dalam perkara pokok mereka perlu bersatu.
 
Beliau berkata, perbezaan pendapat bukan satu masalah kerana ia turut berlaku dalam kalangan Sahabat Nabi dan ulama, namun Islam menetapkan adab dalam menguruskan perbezaan.
 
Menurut beliau, sekiranya berlaku perselisihan, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama.
 
“Sekurang-kurangnya kita bersetuju untuk tidak bersetuju,” ujar beliau dalam Forum Maghrib Khas, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
 
Mengulas aspek akhlak, beliau berkata, masyarakat Melayu sebelum ini terkenal dengan sifat sopan santun dan adab yang tinggi, termasuk menghormati ibu bapa serta orang tua.
 
Bagaimanapun katanya, nilai itu semakin terhakis dalam masyarakat hari ini.
 
Beliau turut menegur sikap tidak adil dalam kalangan masyarakat yang cenderung bersikap berat sebelah terhadap kelompok sendiri, namun menghukum pihak lain secara berbeza.
 
Katanya, Islam menuntut keadilan ditegakkan tanpa dipengaruhi perasaan benci, termasuk terhadap diri sendiri, keluarga dan pihak lain.
 
Dalam pada itu, beliau menegaskan perpaduan dalam kalangan orang Melayu hanya dapat dicapai dengan kembali kepada ajaran Islam secara menyeluruh.
 
Katanya, kesatuan umat bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang kepada al-Quran dan sunnah dalam kehidupan seharian.
 
Beliau berkata, masyarakat juga perlu bermuhasabah dan tidak hanya menyalahkan pihak lain dalam menangani perpecahan yang berlaku.
 
Selain itu ujarnya, setiap maklumat yang diterima perlu diselidik terlebih dahulu bagi mengelakkan penyebaran berita tidak sahih di mana boleh mencetuskan perbalahan.
 
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar mendamaikan pihak yang berselisih serta mengelakkan penggunaan gelaran buruk dalam interaksi, khususnya di media sosial.
 
“Penyelesaiannya adalah kembali kepada ajaran Islam sebagai panduan hidup,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -
- Advertisement -