
KUALA NERUS: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi menegaskan peranan wanita Melayu sebagai pemelihara warisan dan identiti budaya kekal menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun Alam Melayu.
Beliau berkata, perkara tersebut dapat dicapai apabila berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai asas kehidupan, serta memahami alam sendiri sebelum menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
“Identiti wanita Melayu tidak dapat dipisahkan daripada pegangan agama Islam. Sejarah membuktikan kegemilangan peranan wanita di rantau ini berkembang pesat ketika era empayar Melayu Islam seperti Kesultanan Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu lain di Tanah Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Mumtaz turut merujuk kepada Surah At-Taubah yang menegaskan bahawa lelaki dan wanita beriman saling menjadi penolong dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, di samping menunaikan kewajipan agama.
Menurutnya, prinsip tersebut menjadi asas kepada pembentukan peranan wanita dalam masyarakat Melayu.
“Dalam konteks budaya, wanita memainkan peranan penting sebagai pewaris identiti bangsa. Segala adat, bahasa dan nilai diwariskan secara langsung kepada anak-anak melalui institusi keluarga,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, antara elemen utama tamadun Melayu ialah bahasa Melayu sebagai lingua franca yang dituturkan lebih 300 juta penduduk di Nusantara, selain tulisan Jawi yang suatu ketika dahulu menjadi medium utama penyebaran ilmu di Asia Tenggara.
Dalam aspek adat katanya, tradisi perkahwinan Melayu masih kekal diamalkan termasuk pemakaian busana yang menepati nilai Islam.
“Selain itu, kehalusan seni budaya seperti pantun, puisi, silat dan tarian Melayu mencerminkan ketinggian budi serta adab masyarakat. Gerak tari dan silat Melayu penuh dengan kesantunan walaupun mempunyai kekuatan tersendiri.
“Ini menunjukkan kehalusan budaya kita berbanding bangsa lain,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Exco Dewan Muslimat PAS Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata warisan seni turut diterjemahkan melalui penggunaan barangan tradisional seperti gobek, tepak sirih serta peralatan berasaskan tembaga dan perak yang masih digunakan dalam kalangan tertentu termasuk institusi diraja.
Beliau turut berkongsi bahawa persamaan budaya antara negara serumpun dapat dilihat melalui makanan dan pakaian dari pengalaman beliau di Aceh dan Brunei antaranya seperti hidangan ayam percik serta pemakaian baju kurung dan baju Melayu.
Dalam pada itu katanya, sistem pemerintahan beraja di Malaysia yang unik dengan konsep Yang di-Pertuan Agong secara bergilir setiap lima tahun turut menjadi sebahagian daripada identiti Melayu yang perlu dipelihara.
Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kehilangan tradisi penceritaan dalam kalangan generasi muda apabila cerita rakyat seperti Pak Pandir, Si Tanggang dan Raja Bersiung semakin dilupakan dan digantikan dengan kandungan moden.
“Penceritaan antara generasi memberi impak besar dalam pembentukan nilai dan hubungan kekeluargaan, selain menjadi medium halus untuk menegur masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mumtaz turut berkata, golongan ibu disaran menghidupkan semula budaya bercerita sebagai usaha memelihara warisan tidak ketara bangsa.
Dalam perkembangan lain, pengalaman beliau menghadiri persidangan antarabangsa melibatkan 186 negara menegaskan kepentingan mengekalkan identiti sendiri di pentas global.
Katanya, elemen seperti bahasa, makanan dan adat memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Malaysia kepada dunia.
“Perbezaan budaya, bahasa dan cita rasa bukan untuk dipertikaikan, sebaliknya untuk difahami sebagai tanda kebijaksanaan Tuhan dalam mencipta kepelbagaian manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Mumtaz berkata wanita Melayu memainkan peranan besar sebagai pewaris dan penyampai warisan yang telah terbina sejak sekian lama dan tanggungjawab ini perlu diteruskan agar identiti Melayu-Islam kekal relevan untuk generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











