Wanita Aceh unggul lawan penjajah, teguh tegak syariat

- Advertisement -

KUALA NERUS: Sejarah kegemilangan wanita Aceh yang pernah memimpin dalam pelbagai bidang, termasuk peperangan dan pemerintahan, wajar dijadikan inspirasi kepada wanita di seluruh dunia Melayu.

- Advertisement -

Wali Kota Banda Aceh, Indonesia, Illiza Sa’aduddin Djamal berkata, kekuatan dan kehebatan wanita Aceh telah terbukti sejak sekian lama, sekali gus membuktikan keupayaan wanita dalam memimpin dan membangunkan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya, Aceh terkenal dengan sejarah wanita luar biasa seperti Laksamana Kemala Hayati di mana diiktiraf sebagai antara laksamana wanita pertama di dunia, selain memimpin pasukan Inong Balee seramai kira-kira 1,000 anggota dalam menghadapi penjajah, termasuk di medan laut yang berbahaya.

“Kehebatan wanita Aceh bukan sahaja di daratan, malah di lautan. Ini membuktikan kekuatan dan keberanian wanita dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan,” katanya.

Tambah Illiza lagi, Aceh turut melahirkan tokoh pejuang wanita seperti Cut Nyak Din dan Cut Nyak Mutia yang meneruskan perjuangan menentang penjajah walaupun selepas kehilangan suami.

Katanya, sejarah juga mencatatkan bahawa Aceh pernah diperintah oleh empat Sultanah selama hampir 60 tahun, termasuk Sultanah Safiatuddin yang memerintah hampir 35 tahun ketika zaman kegemilangan Aceh.

“Ini membuktikan bahawa wanita bukan sahaja mampu memimpin, malah berjaya memainkan peranan strategik dalam pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kepimpinan wanita dalam masyarakat Melayu, khususnya di Aceh, berkembang seiring dengan nilai Islam, sekali gus menolak tanggapan bahawa wanita tidak boleh memegang peranan kepimpinan.

“Walaupun Aceh dikenali dengan pelaksanaan syariat Islam, wanita tetap diberi ruang untuk maju dan memimpin. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak menghalang wanita berperanan dalam kepimpinan,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman menimba ilmu di Kelantan bersama Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang banyak mempengaruhi pendekatan pentadbirannya ketika menjadi Datuk Bandar Banda Aceh.

Beliau memaklumkan, kembali memegang jawatan tersebut dari tahun 2007 hingga 2017 iaiti selepas berkhidmat sebagai anggota Parlimen Indonesia.

Menurutnya, hubungan antara Aceh dan Semenanjung Malaysia sangat erat, bukan sahaja dari sudut geografi, tetapi turut diperkukuh melalui jaringan ulama, hubungan politik serta sejarah kesultanan, termasuk hubungan dengan Pahang pada zaman Sultan Iskandar Muda.

“Hubungan ini turut diabadikan dalam sejarah Aceh seperti kewujudan Gunongan dan kisah Putri Pahang yang mencerminkan ikatan erat antara dua wilayah ini,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan wanita lahir daripada gabungan iman, keberanian, tanggungjawab dan keteguhan prinsip, selain mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslimah.

“Wanita yang kuat bukanlah yang meninggalkan identitinya, tetapi yang menjadikan nilai sebagai asas kepimpinan.

“Sejarah wanita Aceh bukan sahaja relevan pada masa lalu, malah terus menjadi sumber inspirasi kepada wanita masa kini dalam membina peradaban yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -