Ummah ini akan capai kemuliaan hanya dengan Islam

- Advertisement -

KUALA NERUS: Perpaduan Ummah menjadi agenda utama dalam usaha menyebarkan rahmat Islam ke seluruh alam, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia Islam masa kini, kata Penolong Profesor Universiti Islam Sultan Syarif Ali Brunei, Dayang Dr Ummi Fa’izah Abdul Rahman.

- Advertisement -

Beliau menegaskan demikian dalam program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata perhimpunan yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara seperti Brunei, Aceh dan Malaysia itu membuktikan bahawa perbezaan latar belakang, termasuk generasi dan budaya, bukan penghalang untuk bersatu atas dasar akidah dan iman.

“Ukhuwah Islamiah yang terjalin kerana Allah SWT menjadi asas kepada kekuatan ummah,” katanya turut mengingatkan hadirin mengenai keutamaan golongan yang saling mencintai dan berkunjung kerana Allah, sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Dr Ummi Fa’izah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam menyatukan masyarakat berbeza latar belakang, khususnya melalui penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah.

“Kaum Ansar sanggup berkongsi harta, tempat tinggal dan perniagaan dengan Muhajirin, sekali gus menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial, walaupun berbeza keturunan,” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab bahawa umat Islam dimuliakan dengan Islam, dan kemuliaan itu akan hilang sekiranya dicari selain daripadanya.

Menurut beliau lagi, perpaduan ummah juga penting dalam memperkukuh dakwah Islam kepada masyarakat bukan Islam dengan pendekatan penuh hikmah, toleransi dan menghormati budaya tempatan.

Beliau berkata, Brunei Darussalam menjadi contoh apabila masyarakatnya yang terdiri daripada tujuh puak Melayu seperti Kedayan, Tutong, Belait, Dusun, Murut dan Bisaya hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati.

Katanya, pendekatan itu diperkukuh melalui dasar pemerintahan di bawah Baginda Sultan Hassanal Bolkiah yang menekankan penyebaran Islam secara mesra budaya dan penuh rahmah.

“Islam perlu diperkenalkan sebagai agama yang membawa rahmat, keadilan dan penyatuan, bukan ketakutan atau perpecahan,” katanya.

Dr Ummi Fa’izah turut mengingatkan bahawa umat Islam yang merangkumi kira-kira satu perempat populasi dunia memikul tanggungjawab besar untuk menampilkan keindahan Islam melalui akhlak, termasuk nilai keamanan, kasih sayang dan kebenaran. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -