
KUALA NERUS: Negara Brunei Darussalam menitikberatkan kedudukan wanita melalui perlindungan serta sokongan menyeluruh dalam pelbagai aspek kehidupan bagi memastikan kemakmuran negara terus terpelihara.
Penolong Profesor Universiti Islam Sultan Syarif Ali Brunei, Dayang Dr Ummi Fa’izah Abdul Rahman berkata, peranan wanita amat besar sebagai ibu yang melahirkan pemimpin, prajurit dan ilmuwan, justeru kebajikan mereka perlu diberi perhatian serius.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurutnya, pendekatan Melayu Islam Beraja (MIB) di Brunei bukan sekadar konsep, sebaliknya dilaksanakan secara praktikal menerusi pelbagai inisiatif kebajikan yang menyeluruh.
“Antaranya termasuk penyediaan perkhidmatan kesihatan percuma oleh Kementerian Kesihatan Brunei, yang mencerminkan nilai rahmah dan keadilan dalam Islam.
“Perkhidmatan kesihatan ini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah turut diperluaskan ke kawasan pedalaman melalui inisiatif seperti doktor udara, bagi memastikan tiada rakyat yang dipinggirkan,” katanya.
Selain itu beliau berkata, Kerajaan Brunei turut menyediakan pelbagai bentuk kebajikan lain termasuk pemberian kewangan kepada bayi yang baru lahir, subsidi pendidikan serta pencen warga emas.
“Ini menunjukkan kerajaan menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh sepanjang kitaran hidup mereka, dari lahir hingga ke usia emas,” katanya.
Tambah Ummi Fa’izah, kekuatan sebenar negara terletak pada gabungan nilai Islam, budaya Melayu dan sistem beraja yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata.
“Apabila wanita diperkasa dan dilindungi, mereka mampu memberi manfaat besar kepada umat, selaras dengan hadis Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik manusia adalah yang paling memberi manfaat kepada manusia lain,” katanya.
Beliau turut mengajak semua pihak untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT serta memanfaatkannya ke arah kebaikan ummah. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











