
KUALA NERUS: Peranan wanita dalam kepimpinan dan dakwah perlu kembali berteraskan sunnah serta berpandukan sejarah Islam yang membuktikan penglibatan signifikan golongan itu sejak awal perkembangan agama.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata demikian dalam program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, al-Quran dan sunnah sarat dengan kisah wanita yang memainkan peranan penting dalam dakwah dan pembangunan ummah, termasuk dalam kalangan isteri, ibu serta Sahabat Nabi Muhammad SAW.
“Wanita bukan sekadar pelengkap, malah menjadi asbab dalam penurunan ayat-ayat Al-Quran serta terlibat secara langsung dalam perjuangan Islam,” katanya.
Mumtaz berkata, dalam sirah Rasulullah SAW, penglibatan wanita dapat dilihat dalam pelbagai peristiwa penting seperti hijrah, bai’ah dan juga peperangan, sekali gus menjadi asas kepada penglibatan wanita dalam bidang dakwah dan siasah hari ini.
Tambah beliau, tokoh seperti Saidatina Khadijah RA merupakan contoh terbaik wanita pendakwah apabila menjadi individu pertama menerima dakwah Rasulullah SAW, sebelum menyebarkannya kepada ahli keluarga.
“Ini menunjukkan wanita mempunyai peranan besar dalam menyampaikan dakwah, bermula dari institusi keluarga,” katanya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa wanita pertama yang syahid dalam Islam ialah Sumaiyah RA, sekali gus membuktikan keberanian wanita dalam mempertahankan agama.
Dalam konteks semasa katanya, wanita perlu berani tampil ke hadapan dan memanfaatkan teknologi moden seperti platform digital untuk berdakwah serta memperkukuh ekonomi.
“Jika dahulu Khadijah RA mampu mengurus perniagaan hingga ke Yaman dan Syria, hari ini wanita mempunyai lebih banyak peluang melalui perniagaan dalam talian dan konsep bekerja dari rumah,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa di Kelantan, wanita memainkan peranan penting dalam ekonomi, termasuk menjadi penyumbang utama kepada kutipan zakat negeri.
“Daripada lebih RM300 juta zakat yang dipungut, kira-kira 80 peratus pembayar adalah wanita, menunjukkan peranan aktif mereka dalam ekonomi,” katanya.
Dalam aspek sejarah tempatan, beliau berkata, Tanah Melayu turut mempunyai ramai tokoh wanita hebat seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang pernah memerintah negeri dengan cemerlang.
Katanya, kepimpinan wanita bukan sesuatu yang asing dalam Islam, sebagaimana kisah Ratu Balqis di mana bijaksana dalam membuat keputusan melalui musyawarah.
“Ini membuktikan wanita tidak perlu berasa canggung atau takut untuk memimpin kerana sejarah telah membuktikan keupayaan mereka,” katanya.
Tambah beliau lagi, kepimpinan wanita bermula dari rumah, khususnya sebagai ibu di mana membentuk generasi masa depan melalui pendidikan dan pengurusan keluarga yang baik.
“Jika ibu tidak menjadi pemimpin yang baik di rumah, sukar untuk membentuk masyarakat yang seimbang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan wanita memahami politik dan isu semasa bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus kepimpinan global.
Mengulas lanjut Mumtaz berkata, kejayaan wanita juga bergantung kepada sokongan suami dan keluarga dalam memastikan mereka mampu melaksanakan peranan dengan berkesan.
“Apabila wanita dan lelaki saling bekerjasama, masyarakat akan menjadi lebih seimbang dan negara akan mencapai kemakmuran,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











