Strategi bijak pengurusan duit raya

Azam Zubair
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Duit raya bukan sekadar pemberian tradisi, tetapi boleh menjadi permulaan tabungan dan pelaburan masa depan anak-anak jika diurus dengan bijak. 

- Advertisement -

Perunding Kewangan, Dr Azam Zubair berkata,  ibu bapa boleh membahagikan perancangan kewangan anak kepada tiga fasa utama mengikut usia mereka.  

“Fasa pertama, simpanan penuh dari bayi hingga 6 Tahun. Pada peringkat awal, saya menyarankan agar ibu bapa menyimpan 100 peratus duit raya anak dalam instrumen pelaburan berisiko rendah seperti Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).  

“Pelaburan ini akan memberikan pulangan dalam bentuk dividen tahunan, menjadikan wang tersebut berkembang tanpa risiko yang tinggi,” katanya memetik dari sumber YouTube miliknya. 

Beliau berkata, menyimpan di bank biasa mungkin kurang menguntungkan kerana kadar faedah yang rendah berbanding instrumen pelaburan lain yang lebih stabil.  

Tambahnya, untuk fasa kedua adalah latihan pengurusan wang dari umur 7 hingga 12 Tahun. 

“Apabila anak mula memahami nilai wang, mereka perlu diberikan peluang untuk mengurus kewangan sendiri. 

“Dalam fasa ini, saya mencadangkan agar ibu bapa membenarkan anak-anak menggunakan sebahagian kecil duit raya mereka, sekitar 20 hingga 30 peratus untuk perbelanjaan peribadi seperti membeli mainan atau barangan kegemaran. 

“Selebihnya perlu disimpan atau dilaburkan dengan melibatkan mereka secara langsung dalam proses simpanan.  

“Saya bawa anak ke bank sendiri supaya mereka tahu ke mana duit itu pergi dan bagaimana ia boleh berkembang,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa latihan itu bertujuan membentuk disiplin kewangan dan membantu anak memahami konsep menabung sejak kecil.  

Mengulas lanjut katanya, fasa ketiga adalah untuk pengurusan kewangan sendiri yang bermula dari umur 13 hingga 18 Tahun.

Bagi golongan remaja, perbelanjaan mereka mungkin meningkat, namun Azam menyarankan agar mereka tidak menggunakan lebih daripada 50 peratus duit raya yang diterima.  

“Jika kita latih mereka menyimpan sejak kecil, mereka akan terbiasa untuk mengagihkan wang dengan bijak. 

“Apabila bekerja kelak, mereka tidak akan membelanjakan semua pendapatan tetapi tetap menyimpan sekurang-kurangnya 50 peratus,” tambahnya.  

Katanya lagi, amalan itu juga akan membantu anak-anak membentuk tabiat kewangan yang sihat dan mengelakkan masalah kewangan seperti hutang pada usia muda.  

Sementara itu, beliau berkata, perancangan kewangan sejak kecil dapat membantu anak-anak mengelakkan beban kewangan atau keperluan berhutang apabila melanjutkan pelajaran kelak.  

“Saya sendiri mula membuka dua tabung simpanan wajib untuk anak saya sejak dia berusia sembilan bulan, iaitu Tabung Haji dan ASB. Jika tidak mampu menyimpan 50 peratus, sekurang-kurangnya simpanlah sedikit, yang penting adalah mula menabung,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -