Harga bahan api naik: Semua pihak perlu berjimat

Ariffin Deraman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang ramai di negeri ini disarankan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mengutamakan keperluan asas susulan kenaikan mendadak harga bahan api yang dijangka memberi kesan kepada kos sara hidup.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengguna perlu segera menyesuaikan corak perbelanjaan dengan hanya membeli barangan keperluan harian serta menangguhkan pembelian barangan tidak penting.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengurangkan tekanan kewangan susulan peningkatan kos pengangkutan, khususnya melibatkan kenderaan diesel yang naik secara ketara sejak tercetusnya konflik di Asia Barat.

“Pengguna dinasihatkan berjimat cermat dari sekarang, berbelanja sekadar untuk membeli barangan  keperluan harian terlebih dahulu dengan mengabaikan barangan lain.

“Hari raya Aidil Fitri tahun ini biarlah disambut secara sederhana sahaja sekaligus tidak membazir bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung akibat kenaikan harga barang keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kenaikan harga diesel kepada RM4.72 seliter, meningkat 80 sen berbanding RM3.90 sebelum ini, memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan kos logistik.

Katanya, harga petrol RON97 turut mencatat peningkatan apabila naik 70 sen kepada RM4.55 seliter berbanding RM3.85 sebelum ini, sekali gus menambah tekanan kepada pengguna.

“Jika sebelum ini kenaikan harga bahan api hanya sekitar dua hingga lima sen seliter, namun peningkatan kali ini jauh lebih tinggi dan memberi impak besar kepada ekonomi rakyat,” katanya.

Ariffin berkata, kesan kenaikan tersebut dijangka turut melibatkan harga barangan kawalan seperti beras, tepung gandum dan minyak masak yang berpotensi meningkat dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyambut Aidilfitri secara sederhana bagi mengelakkan pembaziran serta mengurangkan beban kewangan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau aktiviti peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

“Peniaga seharusnya sentiasa menyemak harga kawalan barangan pengguna yang ditetapkan oleh KPDN dari semasa ke masa agar mematuhi harga yang ditetap kerajaan sekaligus mengelakkan diri dari dikenakan tindakan undang-undang akibat ketidakpatuhan tersebut,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak, sama ada peniaga mahupun pengguna, supaya bertindak bijak dalam mengurus perbelanjaan dan sumber pendapatan bagi menghadapi cabaran kenaikan kos akibat ketidaktentuan global.

“Jadilah peniaga dan  pengguna bijak dengan memanfaatkan penjimatan dan sumber pendapatan sedia ada bagi berdepan dengan krisis kenaikan harga barang akibat peperangan,” katanya.

Terdahulu, kenaikan kos pengangkutan terutama kenderaan berdiesel meningkat secara mendadak sejak tercetusnya Perang antara Israel, Amerika Syarikat dengan Repulik Islam Iran dua minggu lalu bermula 28 Febrruari 2026. – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -