Cuaca panas dijangka berterusan di Kedah hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca panas tanpa hujan dijangka berlaku di Kedah sepanjang hari ini, 25 Mac 2026, berdasarkan kenyataan terbaharu Jabatan Meteorologi Malaysia, dengan suhu minimum sekitar 24 darjah Celsius dan maksimum boleh mencapai 37 darjah Celsius.

- Advertisement -

Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan tiga daerah di Kedah kini mencatatkan gelombang haba Tahap 2, melibatkan Pokok Sena, Pendang dan Baling. 

Kategori ini ditetapkan apabila suhu maksimum harian berada antara 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Menerusi kemas kini pada jam 6 pagi, agensi berkenaan turut melaporkan sebanyak 16 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1. 

Kawasan yang terlibat termasuk Perlis, selain beberapa daerah di Kedah seperti Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Di Pulau Pinang, daerah Timur Laut dan Utara turut mengalami situasi sama, manakala di Perak melibatkan Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar. 

Bagi Pahang pula, Jerantut dan Raub juga dikategorikan di bawah tahap berkenaan.

Tahap 1 merujuk kepada keadaan apabila suhu maksimum harian berada dalam lingkungan 35°C hingga 37°C selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.  – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -