
MENJELANG Hari Raya, kita sering disajikan dengan kisah warga emas yang hidup bersendirian kerana anak-anak menetap jauh. Lebih menyedihkan, ada yang tidak sempat beraya bersama keluarga, malah ada yang meninggal dunia tanpa disedari.
Hakikatnya, ini bukan isu bermusim. Jarak fizikal antara anak dan ibu bapa semakin menjadi punca renggangnya hubungan serta berkurangnya perhatian dan sokongan.
Sehubungan itu, REACH mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperkenalkan insentif perumahan keluarga bagi menggalakkan anak-anak tinggal berhampiran ibu bapa.
Cadangan ini merangkumi:
1. Pemberian insentif kewangan kepada pembeli rumah yang menetap berhampiran ibu bapa atau anak mereka.
2. Dengan mengambil kira realiti geografi dan taburan penduduk di Malaysia, berhampiran bermakna di dalam lingkungan 20 km.
3. Insentif berbentuk wang tunai yang merupakan peratusan dari harga rumah yang dibeli, contoh jika 10 peratus dan harga rumah adalah RM250,000 maka pembeli akan menerima RM25,000 daripada kerajaan.
4. Penumpuan kepada Rumah Mampu Milik seperti PR1MA, Rumah Selangorku dan Residensi Wilayah.
5. Pelaksanaan kawalan ketat termasuk larangan menjual semula sekurang-kurangnya untuk sepuluh tahun bagi mengelakkan spekulasi.
Cadangan ini akan memupuk rasa tanggungjawab di kalangan ahli keluarga, mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan serta memperkukuhkan institusi keluarga.
Sebagai rujukan, model seumpama ini telah dilaksanakan di Singapura melalui Proximity Housing Grant (PHG) oleh Housing Development Board (HDB).
Melalui skim tersebut:
1. Sehingga $20,000 diberikan kepada pembeli yang tinggal kurang 4 km dari ibu bapa atau anak.
2. Sehingga $30,000 bagi mereka yang tinggal bersama.
Tetapi skim ini terpakai untuk pembelian rumah sedia ada _(resale)._
Walaupun polisi-polisi perumahan di Singapura tidak semestinya sesuai sepenuhnya dengan konteks Malaysia, objektif sosial di sebalik inisiatif ini wajar diberi perhatian serius.
REACH percaya bahawa dasar perumahan perlu melangkaui soal pemilikan semata-mata. Ia harus menjadi alat untuk membina masyarakat yang lebih penyayang, saling menyokong dan berdaya tahan.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 25/3/2026











