Terlupa bayar zakat fitrah

- Advertisement -

Soalan:

Jika selepas hari raya, contohnya pada 5 Syawal seorang itu baru teringat dia belum membayar zakat fitrah, maka adakah wajib diqada ketika itu juga atau kena tunggu Ramadan tahun hadapan dan bagaimana niat qada zakat fitrah?

- Advertisement -

Jawapan:

Jika seorang itu terlupa membayar zakat fitrah dan dia sedar selepas beberapa hari bulan Syawal atau selepas daripada bulan Syawal, maka wajib dia membayarnya pada masa dia teringat itu sebagai qada.

Orang yang sengaja tidak membayar zakat fitrah atau sengaja melewatkan bayarnya sampai masuk 2 haribulan Syawal, maka dia telah berdosa tetapi jika kerana terlupa, maka dia tidak berdosa kerana lupanya dan wajib atas keduanya qada.

Berkata Syeikh Abu Bakr Syata’:

ـوحرم تأخيرها عن يومه أي العيد بلا عذر كغيبة مال أو مستحق ، ويجب القضاء فورا لعصيانه

Ertinya: “Dan haram melambatkan zakat fitrah dari hari raya tanpa uzur seperti hilang hartanya atau tiada wujud asnaf yang berhak. Dan wajib dia qada dengan segera kerana derhakanya itu pada melambatkannya.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Bermula contoh niat bagi membayar zakat fitrah qada itu ialah:

نويت عن أخرج زكاة الفطر عن نفسي قضاء فرضا لله تعالى

Ertinya: “Aku berniat mengeluarkan zakat fitrah yang wajib atasku sebagai qada yang fardu kerana Allah Taala.”

Kesimpulannya, orang yang terlupa membayar zakat fitrah sehingga habis waktunya tidaklah berdosa tetapi wajib atasnya qada dengan segera ketika dia teringat.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -