Politik kuasa baharu dunia: Dahulu petroleum kini mineral

- Advertisement -

SEPANJANG minggu ini, kita banyak berbicara berkenaan harga minyak di Malaysia. Ia akibat ketidaktentuan harga pasaran minyak global akibat penutupan Selat Hormuz oleh Iran. Satu perkara yang sudah semestinya kita mengetahui semenjak perang Teluk, perang selalu mengajar dunia satu perkara yang sama.

Kekuatan sesebuah negara dalam satu-satu peperangan bukan hanya ditentukan oleh persenjataan yang dimiliki, tetapi oleh penguasaan kepada rantaian bekalan. Apa yang boleh dibeli, dihantar, diproses, dan diganti apabila krisis meletup. Selama berdekad-dekad, dunia memahami logik ini melalui petroleum. Bila perang atau ketegangan berlaku di Timur Tengah, harga minyak naik, inflasi menekan, mata wang bergoncang, dan kerajaan-kerajaan besar terpaksa mengubah dasar dalam masa singkat.

Peperangan Iran – US atau Israel memahamkan lagi mengenai penguasaan kepada rantaian bekalan. Iran yang menguasai Selat Hormuz telah mengajar dunia betapa tindakannya ini memberi kesan besar kepada negara lain. Selat Hormuz menyalurkan sebahagian besar aliran tenaga dunia di mana sekitar 20 peratus daripada penggunaan petroleum cecair global pada 2024 disalurkan melalui selat ini.

- Advertisement -

Minyak dan REE: Satu pengajaran

Jika penutupan Selat Hormuz ini juga merupakan tindakan peperangan tanpa persenjataan, bayangkan logik yang sama berlaku bukan pada minyak, tetapi pada Rare Earth Elements (REE). Pasaran REE mungkin tidak sebesar minyak dari segi nilai dagangan harian ketika kini, tetapi ia akan berkembang menjadi besar pada masa hadapan, sesuai dengan perkembangan teknologi moden, daripada telefon pintar hinggalah kepada kenderaan elektrik, daripada turbin angin hingga radar dan sistem komunikasi ketenteraan.

Kesilapan yang mungkin tak dijangka dan disedari ketika era moden ini ialah menyamakan REE dengan komoditi mentah seperti bijih besi atau minyak mentah. Berbeza dengan dengan petroleum, REE bukan sekadar ‘siapa ada memiliki bahan mentah’, tetapi ‘siapa yang menguasai teknologi pemprosesan dan pembuatan produk hiliran’ terutamanya magnet rare earth yang sangat banyak digunakan dalam pembuatan kereta elektrik, bateri malah untuk sistem pertahanan. Dalam perkara ini, negara China menguasai dengan begitu dominan dari segmen huluan hinggalah hiliran dalam industri REE ini.

Jadi, jika dahulunya malah kesan rantaian perbekalan petroleum yang menggoncang dunia boleh dilihat sehingga perang Iran – US atau Israel hingga ke hari ini, akibat ‘sekatan pergerakan pasaran’ melalui Selat Hormuz, kita boleh bayangkan pula suatu masa nanti REE boleh menggoncang dunia melalui lesen eksport dan kapasiti pemprosesan. Ini ialah bentuk ‘senjata ekonomi’ yang lebih halus tanpa perlu menutup laluan laut. Ia cukup sekadar mengetatkan permit, melambatkan penghantaran, atau mengutamakan pasaran domestik. Akibat kawalan bagi sesebuah negara terhadap REE ini akan mengakibatkan kelewatan yang akhirnya ia boleh mengancam hasil, daya saing dan pekerjaan dalam rantaian industri global.

Bukan siapa yang memiliki, tetapi siapa yang menguasai

Iran membuka mata kita betapa akibat sekatan Selat Hormuz telah memporak perandakan bekalan petroleum dunia. Andaian yang sama juga boleh dibayangkan ketika ini jika suatu masa nanti China, sebuah negara ketika ini yang dikatakan menguasai ‘pemilikan’ serta pemprosesan REE. Paranoia bahawa jika China yang mendominasi pasaran REE menyekat eksport adalah satu paranoia yang perlu kepada perancangan masa depan. Dunia sememangnya sedar mengenai kebergantungan kepada REE ini. Malah kebanyakan negara berlumba untuk mempercepatkan kepelbagaian
rantaian REE, termasuk langkah US Department of Defense yang dikhabarkan membuat perjanjian bekalan dengan Lynas, kerana kebimbangan pergantungan kepada China.

Apa yang perlu disedari, kelewatan perbekalan REE yang diproses ini boleh memberi kesan kepada dunia. Walaupun REE mentah ini mempunyai bekalan yang mencukupi, namun akibat perbekalan REE yang diproses akan mengakibatkan kilang pada mulanya kekurangan input, kemudian mengakibatkan pengeluaran menjadi lambat dan menaikkan kos akhirnya projek-projek  strategik seperti enaga boleh diperbaharui, elektronik, dan sistem pertahanan tertunda. Semua kelewatan ini boleh mengubah ‘keseimbangan medan’.

Maka, negara yang menguasai REE dan menguasai teknologi pemprosesan, standard industri, serta kawalan eksport memiliki kelebihan strategik jangka panjang. Inilah maksud sebenar ‘persaingan kuasa besar’ hari ini. Mereka tidak lagi bercakap tentang siapa boleh melombong, tetapi siapa mengawal aliran bahan mentah dari perut bumi sampai ke industri bernilai tinggi.

Malaysia: Ruang dan peluang

Berbalik kepada Malaysia, negara mempunyai potensi sebagai salah satu pemain utama REE global. Kapasiti sumber mentah REE  terutamanya non radioactive yang berjumlah 16.1 juta tan metrik atau nilai potensi semasanya boleh mencecah sekitar RM800 bilion hingga hampir RM1 trilion.

Dari nilai dan penilaian strategik, Malaysia mempunyai ‘peluru simpanan’ untuk abad ke-21. Namun peluru itu hanya berguna jika kita memiliki dasar, ilmu, undang-undang, teknologi pemprosesan, dan keberanian politik untuk memastikan nilai tambah tidak keluar begitu sahaja. Jika tidak, kita akan akan ‘terperangkap’ kepada naratif sama bagi bahan mentah lain seperti petroleum. Memiliki tetapi tidak menguasai.

Sejarah lampau perlu kita hadami dan belajar serta bermuhasabah. British tidak datang ke Tanah Melayu secara kebetulan. Mereka datang dengan tujuannya serampang dua mata, iaitu kerana ada sebab agama dan juga sebab ekonomi. Sesuatu yang kita tidak boleh lupa dan terlepas pandang, kuasa besar sentiasa membaca peta sumber, memetakan potensi, dan menyimpan data untuk kegunaan strategik, baik dari segi strategi untuk penyebaran ideologi mahupun dari sudut ekonomi dan penguasaan negara.

Dari segi nilai ekonomi, penjajah datang kerana nilai ekonomi timah, emas, dan komoditi yang menghidupkan industri mereka. Berbeza dengan zaman dahulu, penjajahan jarang datang melalui kapal perang, ia datang melalui kontrak, lesen, teknologi, kawalan pasaran, dan standard antarabangsa. Ini bentuk ‘penjajahan ekonomi’ yang lebih licin, negara pengeluar diberi royalti kecil, tetapi nilai tambah besar kepada pemprosesan, pembuatan REE dibawa keluar. Jika Malaysia tidak bersedia, natijahnya boleh serupa walaupun bentuknya berbeza, sumber dikuasai, nilai tambah lari, dan kita hanya menjadi penonton di tanah sendiri.

Apa strategi Malaysia?

Persoalannya, adakah Malaysia cukup bersedia? Sekurang-kurangnya ada beberapa teras yang perlu diputuskan secara tegas:

Pertamanya, dasar nilai tambah (downstream-first) perlu ditetapkan sasarannya secara jelas. Berapa dan bagaimana hasil mentah REE negara ini mesti diproses dalam negara. Jangan diulangi kesilapan industri komoditi lain.

Banyak hasil kita dibawa keluar, diproses dan dikembalikan ke negara ini sebagai ‘buatan negara’ lain. Malaysia juga mesti faham bahawa REE ini sangat penting untuk digunakan sebagai aset strategik. Eksport bukan haram, tetapi mesti berpandu, siapa pembeli, apa syarat teknologi, dan apa pulangan industri.

Ini membuka kepada diplomasi mineral, dimana negara perlu membina rangka kerjasama serantau dan global yang melindungi kepentingan nasional, bukan sekadar menjadi pembekal kepada kuasa besar.

Walau sebesar mana kita melihat REE ini sebagai pendapatan negara dan aset strategik, kita perlu menerima hakikat bahawa konflik kepentingan ekonomi dan sosial harus dielakkan.

Mana-mana kerajaan harus mengimbangkan keperluan ekonomi dan kelestarian alam. Standard alam sekitar perlu digubal, dilaksanakan dan dipantau dengan lebih serius.

Penutup

Sekian lama, kita sedar bahawa petroleum adalah kuasa pasaran tenaga. Perang ketika ini mengetuk kelalaian kita selama ini bahawa negara memiliki satu aset strategik baru yang kesannya lebih besar berbanding petroleum. Kehadiran REE mentah dan ditambah dengan kawalan pemprosesan dan lesen eksport memberi kelebihan sangat besar secara strategik kepada negara. Ia adalah kelebihan strategik jangka panjang dalam ekonomi, pertahanan, dan teknologi.

Kegagalan negara untuk bersedia memanipulasi REE ini akan mengulangi sejarah lama. Kita perlu mengubah sejarah lama dari hanya sekadar menjadi penonton di tanah sendiri. Hasil bumi dikorek, tanah terbiar kosong namun nilai tambah dibawa keluar dan menjadi pendapatan besar negara lain. Malaysia harus menjadi negara yang mengawal masa depannya sendiri.

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Ahli Parlimen Kubang Kerian – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -