Dedahkan keputusan Ops ‘Omnipresent’: Rakyat berhak tahu

- Advertisement -

REACH menggesa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor (JIM Selangor) agar segera mendedahkan statistik penuh hasil Ops ‘Omnipresent’ yang telah dilaksanakan dari 20 hingga 22 Mac lalu.

Ketelusan bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan. Seperti yang telah berulang kali ditegaskan oleh REACH, rakyat berhak mengetahui sejauh mana keberkesanan operasi tersebut serta sama ada ia telah mencapai matlamat yang ditetapkan.

- Advertisement -

Ketiadaan maklumat yang jelas hanya akan menimbulkan persepsi negatif. Orang awam tidak dapat membezakan sama ada individu warga asing yang diperiksa memiliki dokumen sah atau sebaliknya. Lebih membimbangkan, pelepasan selepas pemeriksaan tanpa penjelasan boleh membuka ruang kepada tuduhan tidak berasas terhadap pihak berkuasa.

Sehubungan itu, REACH menggesa agar pihak JIM Selangor mendedahkan secara terperinci statistik berikut:

1. Jumlah individu yang diperiksa.

2. Jumlah yang memiliki dokumen sah.

3. Jumlah yang ditahan untuk siasatan.

4. Jumlah yang akan dihantar pulang.

Pendedahan maklumat ini penting bagi memastikan integriti dan kredibiliti JIM terus terpelihara, di samping menangkis sebarang spekulasi liar.

Pada masa yang sama, ketelusan akan meningkatkan keyakinan rakyat dan menggalakkan kerjasama awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

REACH menegaskan dalam isu melibatkan kepentingan awam, keterbukaan adalah asas kepada keyakinan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 25/3/2026

- Advertisement -