
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri sering dikaitkan dengan pelbagai hidangan enak seperti rendang, lemang, ketupat dan aneka kuih-muih.
Namun, dalam kemeriahan menikmati juadah raya, aspek kesihatan tidak boleh diabaikan.
Pemakanan yang tidak terkawal boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, terutamanya bagi mereka yang sudah merana kerana didiagnos menghidap penyakit kronik.
Menurut Pakar Endokrinologi, Diabetes dan Perubatan Dalaman, Dr. Chooi Kheng Chiew, ramai yang menganggap musim perayaan sebagai masa untuk menikmati pelbagai makanan tanpa kawalan, terutamanya ketika menghadiri rumah terbuka atau menziarahi sanak saudara.
Bagaimanapun, beliau berkata, tabiat itu boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya jika seseorang menghidap penyakit seperti diabetes, darah tinggi atau masalah jantung.
“Sebenarnya aspek kesihatan mesti dititikberatkan tanpa mengira masa dan bukan diambil sambil lewa pada bulan-bulan tertentu kerana ini boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
“Adakalanya, bukannya penyakit kronik yang tiba-tiba muncul pada musim raya, tetapi pesakit yang sudah menghidap penyakit kronik mungkin mengalami kemerosotan dari segi penjagaan dan kawalan penyakit; dan ini menyebabkan pesakit mengalami gejala-gejala tertentu dan juga kesan-kesan akut yang boleh memudaratkan dan membahayakan kesihatan,” katanya.
Tambah beliau, pengambilan makanan yang tidak seimbang, makan secara berlebihan dan pilihan makanan yang tidak sesuai atau tidak sihat, sebagai contoh makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi, tinggi garam, gula dan lemak secara berlebihan juga boleh meningkatkan risiko kesan buruk terhadap kesihatan.
“Ada juga pesakit yang pertama kali dikesan untuk menghidap penyakit tertentu pada musim perayaan disebabkan kawalan dari segi paras gula atau tekanan darah melampaui batasan dan menjadikan pesakit tersebut mengalami gejala yang serius julung kalinya pada musim perayaan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, makan secara berlebihan ketika perayaan boleh menyebabkan pertambahan berat badan yang mendadak.
“Sekiranya kita makan secara berlebihan pada musim raya, ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat; dan ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti sekali gus akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
“Untuk mengawal selera makan semasa perayaan, amalkan konsep keseimbangan dan kesederhanaan,” jelasnya lagi.
Beliau juga menyatakan bahawa setiap sajian yang diambil haruslah memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah.
“Mengurangkan makanan manis, berlemak, dan masin adalah langkah penting dalam menjaga kesihatan semasa raya.
“Gantikan minuman bergula dengan air kosong, kurangkan pengambilan kuih-muih yang tinggi gula dan pilih makanan rendah lemak seperti daging tanpa kulit atau lauk yang dimasak tanpa santan berlebihan,” ujarnya.
Beliau menerangkan, penting untuk diingat bahawa kesan penyakit kronik tidak selalu dirasai serta-merta, tetapi boleh membawa komplikasi serius jika diabaikan.
“Selalu ingat, walaupun penyakit kronik mungkin tidak menyebabkan seseorang berasa kesakitan sekarang, jika tidak dikawal elok, lama-kelamaan pesakit akan mengalami komplikasi yang mungkin menyebabkan kecacatan atau meragut nyawa.
“Selain menjaga pemakanan, pesakit kronik juga perlu memastikan mereka mengambil ubat seperti yang disarankan oleh doktor. Ramai yang terpaksa dimasukkan ke hospital selepas raya kerana gagal mengambil ubat dengan betul atau mengabaikan rawatan semasa sibuk beraya,” katanya.
Beliau berkata, senaman yang sesuai harus dilakukan secara konsisten untuk menjaga kesihatan, terutama pada musim perayaan.
“Bersenam secara konsisten juga penting, walaupun pada musim perayaan.
“Aktiviti fizikal yang sederhana seperti berjalan kaki selepas makan atau melakukan regangan boleh membantu mengekalkan kesihatan dan keseimbangan badan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2026




















