
PUTRAJAYA: Kerajaan digesa agar tidak bersikap ‘bersahaja’ dan segera membentangkan perancangan komprehensif bagi menangani kesan ekonomi susulan konflik berlarutan di Timur Tengah yang kini sudah berlaku tiga minggu.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, gangguan bekalan tenaga global akibat ancaman di Selat Hormuz serta serangan ke atas loji minyak dan gas utama dunia mula memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan domestik.
Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU menegaskan, kenaikan mendadak harga diesel sebanyak RM1.60 seliter dalam tempoh dua minggu merupakan satu ‘kejutan’ yang bakal melonjakkan kos operasi perniagaan dan harga barangan.
“Walaupun harga RON95 kekal bersubsidi, peningkatan harga input pengeluaran dan komponen perkhidmatan lain akibat perang tidak dapat dielakkan. Akhirnya, kehidupan rakyat dan keterjaminan makanan negara akan terkesan.
“Namun, sehingga kini kerajaan seolah-olah hilang punca dan tidak memperlihatkan tindakan tuntas, melainkan pengumuman kenaikan harga diesel secara mingguan serta pembatalan majlis rumah terbuka rasmi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Radzi turut mengemukakan beberapa persoalan kritikal yang memerlukan penjelasan segera daripada pihak kerajaan, khususnya melibatkan mekanisme penetapan harga bahan api sekiranya harga minyak dunia mencecah USD180 setong seperti yang dijangkakan.
Beliau mempersoalkan nilai ambang harga minyak dunia yang akan menyebabkan kerajaan menilai semula subsidi RON95 serta kerangka keseluruhan model penetapan harga jika konflik tersebut berterusan selepas April.
“Kerajaan juga perlu menjelaskan sejauh mana ketahanan simpanan minyak dan gas negara untuk menampung kegunaan domestik sekiranya berlaku gangguan bekalan global yang lebih serius,” katanya.
Selain isu bahan api, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula langkah-langkah bantuan yang pernah dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Antara cadangan yang dibangkitkan termasuklah pemberian diskaun atau pengecualian sewa premis kerajaan kepada peniaga kecil, seperti pengusaha kantin sekolah, bagi meringankan beban kos operasi yang semakin meningkat.
“Usah tunggu sehingga keadaan menjadi lebih meruncing baru hendak bertindak. Kerajaan perlu bangun dan menunjukkan kepimpinan yang proaktif dalam menangani krisis besar dunia ini demi kesejahteraan rakyat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 20/3/2026











