
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan agar segera mengkaji semula strategi pengeluaran biodiesel B10 dan B20 bagi melipatgandakan penghasilannya sebagai langkah alternatif menangani kenaikan mendadak harga diesel di pasaran.
Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi PN, Bakri Jamaluddin berkata, penggunaan biodiesel daripada minyak sawit dan minyak masak terpakai merupakan ‘penampan’ terbaik ketika harga minyak mentah dunia melambung tinggi akibat krisis geopolitik di Timur Tengah.
Ahli Parlimen Tangga Batu itu menarik perhatian mengenai kenaikan harga diesel tanpa subsidi yang mencecah RM4.72 seliter berbanding RM3.85 pada 18 Mac lalu, di amna disifatkan sebagai kenaikan sangat drastik.
“Kenaikan ini pastinya memberi impak besar terhadap harga barangan dan kos sara hidup kerana ia menyentuh langsung kos pengangkutan komersial serta penggunaan jentera berat dalam rantaian bekalan makanan negara.
“Risiko kenaikan kos ini boleh dikurangkan sekiranya kita mengoptimumkan penggunaan biodiesel sawit sebagai alternatif kepada bahan api fosil,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka.
Bakri yang juga Ketua Penerangan PN Melaka mendedahkan bahawa berdasarkan statistik tahun 2024, negara mempunyai 22 loji biodiesel yang mampu menghasilkan sehingga 2.75 juta tan setahun.
Bagaimanapun, beliau kesal kerana hanya 19 loji yang beroperasi di bawah kapasiti sebenar dengan pengeluaran sekitar 906,000 tan setahun, sedangkan keperluan domestik adalah sekitar 995 juta liter setahun.
“Malaysia kini menghasilkan 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO), namun hanya tiga juta tan digunakan untuk keperluan dalam negara manakala selebihnya dieksport.
“Kita mempunyai keupayaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B10 untuk kegunaan umum dan B20 bagi sektor industri bagi mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan mencontohi langkah proaktif Indonesia yang kini lebih ke hadapan dalam penggunaan biodiesel sehingga berjaya membekalkan bahan api lebih lestari pada harga lebih rendah berbanding Malaysia.
“Kita tidak boleh lagi bergerak perlahan dalam usaha ini memandangkan keperluan sekarang sangat mendesak. Krisis di Timur Tengah sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita untuk memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui sumber domestik yang lebih ramah lingkungan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2026











