‘Perang luar negara bukan alasan harga minyak naik mendadak’

Kenaikan 80 sen seliter tekan kos hidup, kesan domino ekonomi rakyat

NURUL AMIN HAMID
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perang di luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk kegagalan dasar di dalam negara, tegas Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid. 

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya mengumumkan sesuatu dasar tanpa memastikan rakyat mampu bertahan selepas ia dilaksanakan. 

Beliau berkata demikian susulan kenaikan harga minyak khususnya diesel yang berlaku secara mendadak tanpa persediaan menyeluruh, yang kini memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat khususnya di kawasan luar bandar seperti Padang Terap. “Saya mencadangkan tiga langkah utama, iaitu pertama, kerajaan perlu memperluaskan liputan bantuan diesel bersasar kepada lebih ramai golongan seperti penoreh, pesawah dan peniaga kecil yang mungkin tercicir daripada skim sedia ada,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Kedua katanya, satu mekanisme pemantauan harga barangan yang lebih agresif perlu dilaksanakan bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas kenaikan diesel. 

Ketiga tambahnya, kerajaan perlu menyediakan insentif tambahan sementara kepada sektor logistik dan pengangkutan bagi menstabilkan kos penghantaran barang, seterusnya mengawal kenaikan harga di peringkat pengguna. 

“Ia bagi mengelakkan kejutan kos yang akan dipindahkan kepada pengguna. Jika tiada tindakan segera diambil, kenaikan ini akan mempercepatkan tekanan kos sara hidup dan memberi kesan domino kepada ekonomi rakyat, khususnya di luar bandar,” jelas beliau. 

Nurul Amin berkata, situasi itu bukan sekadar kenaikan harga semata-mata, sebaliknya satu kejutan kos yang dipaksakan ke atas rakyat tanpa persediaan dan perlindungan. 

Menurut beliau, realitinya kenaikan harga minyak bukan sekadar isu global bahan api, sebaliknya menjadi pemicu kepada rantaian kenaikan kos keseluruhan ekonomi. 

“Hampir semua sektor pengangkutan dan logistik bergantung kepada diesel. Maka, apabila diesel naik, harga barang keperluan asas pasti akan turut meningkat,” ulas beliau. 

Beliau berkata, golongan paling terkesan bukan sahaja syarikat besar, malah rakyat bawahan termasuk penoreh getah yang bergantung kepada kos pengangkutan harian. 

Menurut beliau, kesan tersebut termasuk kepada pesawah yang berdepan peningkatan kos operasi serta peniaga kecil yang margin keuntungan mereka sudah pun terlalu tipis. 

Tambahnya, tidak semua golongan berkenaan menerima bantuan di bawah skim seperti BUDI Agrokomoditi, sekali gus menunjukkan jurang pelaksanaan yang serius antara dasar kerajaan dan realiti rakyat. 

“Kenaikan mendadak ini juga telah mencetuskan satu ‘kejutan kos’ kepada ekonomi rakyat. Apabila harga diesel naik secara tiba-tiba tanpa tempoh penyesuaian, seluruh rantaian ekonomi (terkesan). 

“Iaitu daripada pengangkutan, bekalan makanan hingga ke harga barang harian akan mengalami tekanan serentak. 

“Rakyat tidak sempat bersedia, peniaga tidak sempat menyesuaikan kos, akhirnya beban dipindahkan terus kepada pengguna,” kesalnya. 

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak boleh terus bersandar kepada alasan bahawa kenaikan harga minyak berpunca daripada konflik antarabangsa seperti perang di Asia Barat. 

“Memang benar faktor geopolitik memberi tekanan kepada harga minyak dunia, namun ia bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan alasan berterusan untuk membebankan rakyat. 

“Malaysia masih mempunyai ruang dasar untuk bertindak iaitu melalui subsidi bersasar, kawalan harga dan intervensi fiskal. 

“Justeru, kegagalan menyediakan pelan mitigasi yang jelas bukanlah isu global semata-mata, tetapi mencerminkan kelemahan pengurusan dasar domestik,” bidas beliau. 

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan dilihat gagal menyediakan pelan mitigasi yang jelas dan menyeluruh seiring dengan pengumuman kenaikan harga diesel.

“Kenaikan dibuat dahulu, tetapi perlindungan kepada rakyat tidak disusun secara serentak, ini adalah kelemahan dasar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.  

Terdahulu, media tempatan melaporkan, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM4.72 seliter, manakala RON97 naik 70 sen kepada RM4.55 seliter, sementara RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter. 

Harga petrol RON95 tanpa subsidi dilaporkan, kekal RM3.27 seliter, dan harga diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan juga tidak berubah pada RM2.15 seliter. 

Kenaikan itu menurut laporan tersebut selaras dengan harga minyak mentah global yang melebihi USD100 setong akibat konflik Asia Barat. – HARAKAHDAILY 19/3/2026

- Advertisement -