Lynas–Pentagon: Malaysia terlibat dalam rantaian ketenteraan AS? 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh dilihat sebagai negara yang secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan industri ketenteraan yang terlibat dalam konflik serta penderitaan rakyat awam di pelbagai wilayah dunia. 

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata demikian susulan laporan mengenai perjanjian antara syarikat pemproses nadir bumi, Lynas Rare Earths Ltd dengan Pentagon. 

Menurutnya, perjanjian itu melibatkan pembekalan unsur nadir bumi kepada sektor pertahanan Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh empat tahun. 

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada negara ini secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan strategik yang menyokong industri ketenteraan kuasa besar dunia,” tegasnya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, sumber nadir bumi adalah aset strategik negara, bukan sekadar komoditi ekonomi biasa, dan perlu diurus dengan penuh tanggungjawab, ketelusan serta pertimbangan strategik jangka panjang. 

“Malaysia sewajarnya memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian nilai domestik industri nadir bumi supaya sumber strategik ini dimanfaatkan untuk pembangunan teknologi tempatan, industri bernilai tinggi dan pengukuhan ekonomi negara,” ujarnya. 

Sukri menjelaskan, realiti geopolitik dunia memperlihatkan Pentagon sebagai pusat kekuatan ketenteraan AS yang terlibat dalam pelbagai operasi ketenteraan global. 

“Perjanjian ini menimbulkan kebimbangan yang wajar kerana unsur nadir bumi merupakan bahan strategik yang digunakan dalam teknologi ketenteraan moden seperti radar. 

“(Ia termasuk) sistem peluru berpandu, satelit, elektronik pertahanan dan pelbagai komponen industri persenjataan berteknologi tinggi,” katanya. 

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor, ujar Sukri, mendesak dua pihak utama tampil memberikan penjelasan yang jelas dan bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, iaitu Lynas serta kerajaan Malaysia. 

Beliau berkata, Lynas Rare Earths Ltd perlu tampil memberikan penjelasan secara terbuka dan terperinci berhubung perjanjian berkenaan. 

Menurut beliau, penjelasan itu termasuk sama ada unsur nadir bumi yang diproses melalui operasinya di Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan kepada sektor pertahanan AS. 

Sehubungan itu beliau mendesak agar syarikat itu juga perlu menjelaskan sumber bahan mentah yang terlibat dalam kontrak berkenaan, lokasi pemprosesan serta sama ada fasiliti pemprosesan di Malaysia terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam bekalan kepada industri ketenteraan AS. 

“Sebagai syarikat asing yang beroperasi di Malaysia dan mendapat manfaat daripada sumber serta ekosistem negara ini, Lynas mempunyai tanggungjawab moral dan korporat untuk memastikan operasinya tidak menimbulkan implikasi geopolitik yang sensitif kepada negara tuan rumah,” tegasnya lagi. 

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Malaysia juga mesti memberikan penjelasan yang jelas dan telus kepada rakyat berhubung pendirian rasmi negara terhadap perkara ini. 

Tambah beliau, isu nadir bumi bukan sekadar isu perdagangan biasa, tetapi berkait rapat dengan keselamatan strategik, geopolitik global dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. 

“Kerajaan perlu menjelaskan sama ada terdapat dasar atau mekanisme kawalan yang memastikan sumber strategik yang diproses di Malaysia tidak disalurkan kepada industri ketenteraan mana-mana kuasa besar yang terlibat dalam konflik antarabangsa,” katanya. 

Beliau menyatakan, perkara itu menjadi lebih sensitif apabila AS sejak sekian lama terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai konflik di dunia Islam termasuk di Palestin, Iraq, Afghanistan, Syria dan Iran. 

Katanya, sokongan ketenteraan AS kepada rejim Zionis Israel yang terus melakukan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza turut menjadi perhatian besar umat Islam di seluruh dunia.

“Pemuda PAS Selangor menyeru agar Lynas dan kerajaan Malaysia segera tampil memberikan penjelasan yang menyeluruh, telus dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan negara, sensitiviti rakyat serta prinsip keadilan sejagat,” katanya.  

Terdahulu, media tempatan melaporkan, penapis nadir bumi terbesar di luar China, Lynas menandatangani perjanjian bekalan nadir bumi bernilai USD96 juta dengan Jabatan Pertahanan AS selama empat tahun. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Amanda Lacaze berkata, perjanjian tersebut memastikan sektor pertahanan AS terus mendapat akses kepada oksida nadir bumi ringan dan berat. 

Mineral tersebut katanya penting untuk menyokong pembuatan moden dan industri pertahanan. – HARAKAHDAILY 19/3/2026

- Advertisement -