
BESUT: Hampir 100 nelayan di negeri ini berpeluang menikmati kediaman lebih selamat, selesa dan terancang menerusi program Penempatan Semula Nelayan (PSN) yang dilaksanakan di Benting Lintang, di sini, serta di Pulau Sekepeng, Kemaman.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan 50 unit rumah di Benting Lintang dan 50 unit lagi di Pulau Sekepeng lengkap dengan kemudahan asas.
“Dengan siapnya projek ini, seramai hampir 100 nelayan. Keluarga nelayan kini berpeluang menikmati persekitaran yang lebih selamat, selesa dan terancang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci PSN di Tapak Projek Benting Lintang, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Perumahan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu serta Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) atas kerjasama menjayakan projek berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Menurut Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, kerajaan negeri komited dalam memastikan agenda pembangunan perumahan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Usaha ini akan ke kawasan-kawasan lain agar lebih ramai di kalangan rakyat Negeri Terengganu boleh mendapat manfaat darinya,” ujarnya turut menyeru semua penerima rumah supaya menghargai kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya.
Katanya, walaupun terdapat perbezaan suasana berbanding kehidupan sebelum ini yang lebih dekat dengan pantai, perubahan tersebut diharap dapat disesuaikan dari semasa ke semasa.
“Walaupun mungkin dengan suasana yang berbeza, duduk di tepi pantai dengan duduk agak jauh sedikit daripada pantai ni memang ada beza tapi tetapi “alah bisa tegal biasa” lama-lama kita okay la tu, insya-Allah.
“Saya berharap agar penempatan semula nelayan di Benting Lintang dan juga Pulau Sekepeng ini akan menjadi sebuah contoh komuniti yang harmoni untuk penempatan nelayan di tempat-tempat lain di masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2026




















