
KOTA BHARU: Peratus kelulusan bagi peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) tahun 2025 mencatatkan peningkatan kepada 93.78 peratus berbanding 92.18 peratus pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, peningkatan sebanyak 1.6 peratus itu menunjukkan perkembangan positif dalam sistem pendidikan agama di negeri ini.
Menurutnya, pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan semua pihak termasuk guru, pelajar dan institusi pendidikan dalam meningkatkan kualiti pembelajaran.
“Peningkatan ini membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh pendidikan Islam serta memastikan pelajar mencapai prestasi yang lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU, SMTQ dan STUP Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini hari ini.
Tambahnya, keputusan tersebut turut mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan yang dilaksanakan oleh Yayasan Islam Kelantan dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
Katanya lagi, pihak kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti pendidikan agama agar pencapaian lebih cemerlang dapat direkodkan pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 17/3/2026











