
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan, jika Umno bertanding sehingga 115 kerusi pada pilihan raya akan datang secara solo, keadaan itu boleh menyebabkan undi Melayu berpecah.
Akhirnya kata beliau, keadaan itu sebenarnya akan memberikan keuntungan kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) serta DAP.
“Jika PH menang, selepas pilihan raya mereka akan sokong Anwar dan DAP semula,” kata beliau dalam satu ulasan di media sosial peribadi miliknya.
Menurutnya, walaupun Umno dikatakan bergerak ‘solo’ tetapi masih berunding pembahagian kerusi dengan PH, keadaan itu tetap memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan.
“Jika mereka runding kerusi dengan PH dan pergi ‘solo’ olok-olok pun yang untung adalah Anwar, PH dan DAP. Pendek kata, undi UmDAP (Umno-DAP) dapatlah Anwar dan DAP semula,” ulasnya.
Isham berkata, beliau berpandangan DAP tidak wajar diberi ruang untuk kembali berkuasa dan menjadi pihak yang mempengaruhi hala tuju politik negara.
“Jika mereka berkuasa lagi, kita dapat URA (Akta Pembaharuan Semula Bandar), dapat UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), dapat pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan), dapat ladang babi, dan dapat persempadanan semula,” nasihatnya.
Pada masa sama katanya, penyatuan orang Melayu sukar dicapai jika DAP terus mempunyai pengaruh dalam gabungan politik negara.
“DAP tidak akan benarkan orang-orang Melayu bersatu padu kerana jika orang Melayu bersatu padu, DAP akan hilang kuasa.
“Rumah bangsa UmDAP hanyalah helah UmDAP untuk Anwar dan DAP terus berkuasa. Untuk selamatkan dan bina semula Umno, kita perlu tewaskan UmDAP,” tegasnya.
Mengulas perkara berkaitan, Isham berkata, beberapa perkembangan politik mutakhir menunjukkan kemungkinan pilihan raya umum semakin hampir.
Antaranya kata beliau, tindakan Anwar yang meminta jentera PH bersedia menghadapi pilihan raya, selain cadangan daripada DAP dan PKR supaya pilihan raya umum dan pilihan raya negeri diadakan serentak.
Beliau juga merujuk kepada langkah bekas pimpinan Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang menghantar surat rayuan kepada Presiden, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung status keahlian mereka dalam parti itu.
“Maksudnya Pilihan Raya Umum semakin hampir. Perikatan Nasional dan pembangkang perlu bersedia. Kita tukar kerajaan PH atau UmDAP yang membawa mudarat kepada rakyat ini,” serunya.
Isham turut menggesa pengundi Melayu supaya bersatu dan tidak memecahkan undi dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, orang Melayu kini mempunyai ‘payung besar’ melalui gabungan politik yang ditunjangi oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Perikatan Nasional (PN).
“Buat apa kita undi parti yang menyokong gabungan politik di mana DAP yang dominan?” tempelaknya.
Menurutnya, dua pilihan raya umum sebelum ini menyaksikan apa yang disifatkannya sebagai ‘tsunami politik Cina’ apabila hampir semua pengundi Cina menyokong PH.
Beliau menjangkakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan berlaku ‘tsunami politik Melayu’.
“Pastikan undi Melayu tidak pecah. Tolak Pakatan Harapan, tolak DAP, tolak UmDAP,” tegasnya.
Isham juga menggesa pengundi memberi peluang kepada PN untuk mentadbir negara dan menyatakan hasrat supaya buat pertama kali dalam sejarah seorang pemimpin PAS dilantik sebagai Perdana Menteri.
Katanya, langkah itu diyakini dapat menyatukan orang Melayu selain menolak politik wang, rasuah dan pengaruh mafia korporat dalam pentadbiran negara.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2026











