
KOTA BHARU: Pelaksanaan mod lampu isyarat kuning berkelip di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai antara langkah berkesan bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, peningkatan jumlah kenderaan pada musim perayaan menjadi faktor utama berlakunya kesesakan di jalan raya.
Menurutnya, antara langkah yang diambil ialah menukar beberapa lampu isyarat kepada mod kuning berkelip di lokasi tertentu termasuk di kawasan Kulana bagi memastikan pergerakan trafik lebih lancar.
“Pelaksanaan ini bertujuan memastikan aliran trafik tidak terhenti sepenuhnya seperti lampu merah, sebaliknya membolehkan kenderaan bergerak secara berterusan dengan lebih lancar mengikut keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah pengurusan trafik sempena musim perayaan dalam sesi sembang santai Perantau Pulang, Kita Raikan, Raya Sakan.
Sesi tersebut disiarkan secara langsung menerusi segmen Fokus Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan, hari ini.
Tambahnya, pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa penuh terhadap kawalan aliran trafik dan undang-undang jalan raya.
“Setiap kali musim perayaan, penyelarasan akan dibuat melalui mesyuarat bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Perbincangan ini melibatkan aspek keselamatan laluan, pengurusan kesesakan serta langkah pencegahan kemalangan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil.
Menurut beliau, keputusan untuk menukar mod lampu isyarat termasuk menjadikannya berkelip kuning dibuat berdasarkan penilaian teknikal oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Kerajaan negeri dan PBT menerima serta menyokong keputusan tersebut demi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai sepanjang musim perayaan,” katanya.
Sambungnya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bersabar dan mematuhi arahan lalu lintas yang ditetapkan.
“Lampu kuning berkelip bukan bermaksud boleh diabaikan, sebaliknya memerlukan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun terdapat perbezaan pelaksanaan di beberapa lokasi, langkah itu merupakan antara kaedah terbaik ketika ini bagi mengurangkan kesesakan.
“Sebarang kekeliruan khususnya di kawasan yang tidak biasa dilalui diharap dapat ditangani dengan sikap berhemah dan bertanggungjawab kerana keselamatan semua pengguna jalan raya adalah keutamaan bersama,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai khususnya perantau yang mula memasuki Kelantan sejak semalam untuk bercuti menyambut Aidilfitri supaya menjaga keselamatan sebaiknya.
“Pandu dengan selamat, jika mengantuk atau dalam keadaan penat, berehat terlebih dahulu,” ujarnya – HARAKAHDAILY 17/3/2026











