Umno dilihat terdesak tarik kembali bekas ahli

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan Umno yang dilihat giat menarik kembali bekas ahlinya kebelakangan ini menggambarkan parti itu berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan semula sokongan.

ADUN Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, situasi itu berlaku apabila Umno kini berdepan kekurangan penyokong selepas beberapa tokoh besar sebelum ini disingkirkan daripada parti.

- Advertisement -

Menurutnya, usaha memujuk kembali bekas pemimpin dan ahli Umno termasuk golongan muda menunjukkan parti itu sedang mencari kekuatan baharu bagi mengukuhkan kedudukan.

“Kalau kita lihat sekarang, kepimpinan Umno seolah-olah terdesak untuk menarik semula bekas ahli kerana mereka berada dalam keadaan kekurangan sokongan.

“Tokoh-tokoh besar yang sebelum ini dibuang kini cuba didekati semula, sedangkan dahulu mereka disingkirkan kerana perbezaan pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Makae Ccolek bersama masyarakat di dalam DUN Chempaka.

Tambahnya, tidak semua bekas ahli Umno akan mudah menerima pelawaan tersebut kerana terdapat dalam kalangan mereka yang masih berpegang kepada prinsip serta sebab asal mereka meninggalkan parti.

“Ada yang mungkin kembali atas kepentingan tertentu, tetapi dari segi prinsip, mereka yang keluar dahulu atas sebab tertentu mungkin sukar untuk kembali.

“Malah, ada juga yang masih berkecil hati dengan tindakan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini,” ujarnya yang juga seorang pengamal undang-undang.

Sambungnya lagi, kes melibatkan beberapa individu yang dipecat atau digantung sebelum ini juga menimbulkan persoalan kerana ada yang mendakwa tidak mengetahui sebab sebenar tindakan tersebut diambil.

“Jadi tidak mudah untuk mereka kembali begitu sahaja tanpa penjelasan yang jelas,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa perkembangan itu wajar dilihat sebagai dinamika politik semasa dan tidak memberi kesan besar kepada perjuangan pihaknya. – HARAKAHDAILY 17/3/2026

- Advertisement -