PAS lancar pertandingan poster, video Aidilfitri guna AI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skuad AI PAS dengan kerjasama Jabatan Penerangan PAS Pusat menganjurkan pertandingan AI Poster Raya dan AI Video Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi menggalakkan kreativiti digital dalam kalangan ahli.

“Pertandingan ini bertujuan memberi ruang kepada ahli Skuad AI PAS menzahirkan idea kreatif serta menghasilkan karya digital yang menyampaikan mesej positif sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujar penganjur bersama.

- Advertisement -

Jabatan Penerangan PAS Pusat berkata, penyertaan dibuka mulai hari ini sehingga jam 12 tengah malam, Hari Raya Pertama Aidilfitri, dan semua penyertaan perlu dihantar melalui WhatsApp ke nombor 012-2277489.

Kategori dan tema

Tambahnya, terdapat dua kategori dipertandingkan, iaitu AI Poster Raya dan AI Video Raya, di mana peserta boleh menyertai satu atau kedua-duanya.

“Peserta dikehendaki memilih salah satu daripada tiga tema iaitu #RayaPenyatuanBersama, #KembaliKepadaFitrah atau #KitaRayaSamaSama

“Tema hendaklah jelas dizahirkan dalam karya yang dihasilkan. Markah tambahan jika mempamerkan nilai dan inspirasi perjuangan PAS dalam tema poster dan video,” jelasnya.

Syarat penyertaan

Penganjur menyatakan beberapa syarat pertandingan antaranya pertandingan tersebut terbuka kepada ahli Skuad AI PAS yang telah mengikuti Bengkel Jelajah Digital AI.

Selain itu katanya, karya mesti asli menggunakan teknologi AI, dengan maksimum dua penyertaan bagi setiap kategori.

“Karya mestilah tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan isu yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Penganjur berhak menggunakan karya yang dihantar untuk tujuan promosi dan hebahan rasmi,” tambah Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Kriteria karya

Jelasnya, bagi AI Poster, karya mestilah bertemakan Hari Raya Aidilfitri, dihasilkan menggunakan AI Image Generator, bersaiz 1080×1080 atau format 4:5 Instagram atau Facebook, dalam format PNG atau JPG, resolusi tinggi serta mengandungi ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’.

Bagi AI Video pula katanya, karya mestilah bertemakan Aidilfitri atau Raya Bersama Rakyat, dihasilkan menggunakan AI Video Generator, berdurasi 8 hingga 30 saat, dalam format horizontal bersesuaian Facebook atau Instagram, dengan resolusi minimum 1080p.

Pemarkahan dan undian awam

Menurut penganjur, keputusan pertandingan akan ditentukan berdasarkan penilaian juri (70 peratus) yang menilai kreativiti, kualiti visual, penggunaan teknologi AI, dan impak mesej.

Sebanyak 30 peratus pula katanya, markah diperoleh daripada undian awam berdasarkan jumlah ‘Like’ dan ‘Share’ di Facebook rasmi Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Hadiah

Bagi kategori AI Poster katanya, pemenang tempat pertama menerima RM150, tempat kedua RM100, manakala tempat ketiga RM75 termasuk dengan sepuluh hadiah saguhati turut disediakan,

Bagi kategori AI Video pula jelasnya, hadiah tempat pertama RM300, tempat kedua RM200, dan tempat ketiga RM100, dengan 10 hadiah saguhati disediakan.

Tambah penganjur, setiap pemenang termasuk penerima saguhati bagi setiap kategori akan menerima T-Shirt Skuad AI PAS.

Pengumuman pemenang

Menurutnya, pemenang akan diumumkan secara rasmi dalam Majlis Hari Raya PAS Pusat di Melaka pada 11 April.

“Serlahkan kreativiti anda dengan teknologi AI! Mari bersama menghasilkan karya digital yang menarik dan menyatukan masyarakat sempena Hari Raya Aidilfitri,” seru Jabatan Penerangan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 17/3/2026

- Advertisement -