Program sihat jangan dicemari tajaan syarikat judi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penajaan syarikat perjudian, Sports Toto dalam acara larian Cross Country Kuala Lumpur telah mengundang perhatian apabila disifatkan tidak wajar serta bercanggah dengan nilai masyarakat, khususnya dalam konteks negara majoriti Muslim.

Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Adam menegaskan, penglibatan syarikat perjudian dalam program komuniti seperti acara sukan bukan sekadar isu penajaan korporat, sebaliknya melibatkan prinsip, dasar awam dan nilai moral masyarakat.

- Advertisement -

Beliau berkata, acara larian dan aktiviti kesihatan awam sepatutnya menjadi platform mempromosikan gaya hidup sihat, perpaduan serta nilai positif, bukannya dikaitkan dengan industri pertaruhan seperti permainan ramalan nombor 4D.

“Sebarang usaha menormalisasikan penglibatan industri perjudian dalam program komuniti adalah sesuatu yang tidak wajar dan membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila penglibatan tersebut dilaporkan berlaku dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), yang seharusnya lebih peka terhadap sensitiviti agama dan latar sosial masyarakat di Ibu Negara.

Dr Rosni menegaskan, normalisasi industri perjudian dalam program komuniti berpotensi membawa beberapa implikasi negatif, termasuk memberi legitimasi sosial kepada industri berkenaan.

Selain katanya, akan membiasakan generasi muda dengan jenama perjudian serta mengaburkan garis pemisah antara aktiviti sihat dan industri yang mempunyai kesan sosial negatif.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur agar menilai semula sebarang bentuk kerjasama atau kelulusan melibatkan penajaan syarikat perjudian dalam program awam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar garis panduan yang lebih jelas digubal bagi memastikan program komuniti tidak dipromosikan oleh industri bercanggah dengan nilai moral masyarakat.

“Penajaan program komuniti seharusnya datang daripada sektor yang lebih membina seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia memerlukan pembangunan sukan dan aktiviti komuniti yang sihat serta berintegriti tanpa bergantung kepada sumber dana daripada industri perjudian.

Terdahulu, Sports Toto merupakan antara syarikat perjudian berlesen di Malaysia yang mengendalikan permainan ramalan nombor seperti 4D, Toto dan lain-lain bentuk pertaruhan.

Walaupun operasinya sah di sisi undang-undang bagi bukan Islam, industri ini sering menjadi perdebatan kerana dikaitkan dengan pelbagai kesan sosial seperti ketagihan, masalah kewangan dan keruntuhan institusi keluarga.– HARAKAHDAILY 17/3/2026

- Advertisement -