
BESUT: Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh kebajikan komuniti nelayan apabila berjaya merealisasikan projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di beberapa lokasi strategik di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen dalam menyediakan kediaman yang selamat dan selesa kepada nelayan.
Menurutnya, sebanyak tiga projek PSN telah dibangunkan iaitu di Benting Lintang, Besut; Pulau Sekepeng, Kemaman; serta Seberang Penarik, Setiu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM38.2 juta.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM13 juta diperuntukkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), manakala RM25.2 juta lagi adalah sumbangan Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci PSN Benting Lintang dan PSN Pulau Sekepeng, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Mengulas lanjut beliau berkata, projek PSN Benting Lintang melibatkan kos pembinaan RM10.9 juta, manakala PSN Pulau Sekepeng menelan belanja RM14.1 juta dan PSN Seberang Penarik pula sebanyak RM13.2 juta.
Katanya, projek di Benting Lintang yang bermula pada 10 Januari 2022 telah siap sepenuhnya pada 5 Jun 2025, manakala projek di Pulau Sekepeng yang bermula pada 13 Disember 2021 siap pada 12 November 2025.
“Setiap unit rumah dibina dengan kos sebenar sekitar RM185,000, namun kerajaan menetapkan harga jualan hanya RM54,000 seunit dengan tempoh bayaran selama 25 tahun, iaitu kira-kira RM171 sebulan bagi membantu golongan nelayan,” jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak 100 unit rumah teres satu tingkat telah disediakan lengkap dengan kemudahan asas seperti taman permainan, gerai jualan, kedai, pencawang elektrik serta sistem pembetungan.
Menurutnya, projek tersebut menyasarkan golongan nelayan tempatan di daerah Besut dan Kemaman dengan pendapatan isi rumah antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para penerima agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya serta menjaga keharmonian komuniti.
“Penghuni diharap dapat hidup secara aman dan bekerjasama sebagai satu komuniti, selain menjaga kemudahan awam serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atas kerjasama menjayakan projek berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/3/2026











