
KOTA BHARU: Pembangunan ekonomi digital dalam kalangan belia amat penting bagi memastikan generasi muda di negeri ini tidak ketinggalan dalam memanfaatkan kemajuan teknologi serta peluang ekonomi baharu yang semakin berkembang.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Mohamad berkata, usaha memperkasa ekonomi digital perlu diberi perhatian serius memandangkan perubahan landskap ekonomi dunia kini semakin dipacu teknologi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada belia Kelantan untuk menceburi bidang keusahawanan digital sekali gus meningkatkan daya saing mereka pada peringkat lebih tinggi.
“Saya menerima kunjungan daripada Sekretariat Kelantan Youth Digitalpreneur (KYD) bagi satu sesi pertemuan dan pembentangan berkaitan perancangan pembangunan usahawan digital belia di negeri in,” katanya.
Tambahnya, dalam pertemuan tersebut turut berlangsung pelantikan rasmi Sekretariat KYD sebagai pasukan yang akan menggerakkan agenda pembangunan ekonomi digital dalam kalangan belia di Kelantan.
“Perbincangan turut menyentuh hala tuju serta kerangka pelaksanaan inisiatif KYD bagi tahun 2026 yang bertujuan memperkukuh penglibatan belia dalam sektor ekonomi digital di samping membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk memanfaatkan perkembangan teknologi masa kini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekretariat atas komitmen serta idea yang dibentangkan dalam usaha memperkasa ekonomi digital belia negeri ini.
Sekretariat KYD merupakan pasukan yang dilantik bagi menggerakkan agenda pembangunan ekonomi digital dalam kalangan belia di Kelantan di bawah sokongan kerajaan negeri.
Pasukan tersebut bertanggungjawab merancang serta melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan digital belia bagi tahun 2026 bagi memperkukuh penglibatan generasi muda dalam sektor ekonomi digital. – HARAKAHDAILY 16/3/2026




















