
KUALA LUMPUR: Konflik perang terkini di Iran yang menimbulkan tekanan besar terhadap kestabilan harga minyak global dan rantaian bekalan barangan keperluan berpotensi memberi impak langsung kepada ekonomi domestik dan menghimpit rakyat marhaen dengan kenaikan kos hidup.
Ahli Dewan Negara, Wan Martina Wan Yusoff berkata, ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah bukan sekadar isu antarabangsa, sebaliknya turut menjejaskan kos pengangkutan serta harga barangan dapur dan perkhidmatan harian rakyat Malaysia.
“Sebagai langkah awal, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dan mengambil langkah penjimatan secara proaktif.
“Kenaikan harga bahan api global yang mendadak boleh mencetuskan kesan rantaian terhadap kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Wan Martina mencadangkan agar rakyat menyemak semula corak perbelanjaan dan mengurangkan aktiviti yang tidak bersifat keperluan mendesak, sambil menekankan bahawa persediaan kendiri adalah benteng pertama menghadapi krisis.
Beliau turut merujuk tindakan negara lain, termasuk Indonesia dan Filipina, yang mula mengurangkan penggunaan bahan api domestik dan memperkukuh strategi menghadapi kenaikan kos pengangkutan.
“Di Eropah, negara seperti Belgium dan Jerman pula menekankan budaya penjimatan tenaga bagi mengekalkan kestabilan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga luar,” ujarnya.
Selain itu, Wan Martina menasihati setiap ketua keluarga supaya menyemak semula bajet isi rumah, mengutamakan perbelanjaan keperluan asas, dan mengelakkan pembaziran.
Beliau menggesa agar mekanisme bantuan kerajaan harus sampai kepada golongan yang paling terkesan.
“Kesabaran dan perancangan kewangan yang teliti adalah kunci utama dalam mengharungi badai ekonomi akibat konflik antarabangsa ini.
“Kita perlu bersedia lebih awal sebelum kesan lebih besar melanda,” katanya.
Terdahulu, ketegangan geopolitik di Timur Tengah, khususnya konflik di Iran, memberi implikasi besar terhadap pasaran minyak global kerana rantai bekalan tenaga dunia sangat bergantung kepada minyak dan gas dari rantau itu.
Malaysia, sebagai pengimport bersih minyak mentah dan produk petroleum, berdepan risiko tekanan inflasi apabila harga minyak global meningkat secara mendadak, memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, harga barangan dapur, dan perkhidmatan harian rakyat. – HARAKAHDAILY 16/3/2026











