Isu harga minyak serlah perubahan nada Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman berkaitan perubahan harga minyak domestik oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, disifatkan berbeza dengan nada yang pernah dibawa beliau ketika berada di blok pembangkang.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, berdasarkan ‘sifir’ yang pernah diutarakan oleh Anwar sebelum ini, kenaikan harga minyak global sepatutnya dilihat sebagai petanda positif kepada penentuan harga minyak di peringkat domestik.

“Malah, sepatutnya subsidi minyak semakin berkembang kerana ‘lebihan keuntungan’ yang bakal negara nikmati. Rupanya ia sekadar mimpi di siang hari,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu berkata, meskipun beberapa hari sudah berlalu sejak pengumuman itu dibuat, kritikan terhadap langkah kerajaan berkaitan harga minyak domestik masih berterusan.

- Advertisement -

Menurutnya, rakyat menzahirkan kekecewaan berikutan langkah pra-pengumuman yang disifatkan agak berlebihan atau ‘overmarketing’, sedangkan insentif yang diumumkan kepada rakyat tidak begitu besar.

Beliau berkata, situasi itu mengingatkan kepada naratif yang dibina kerajaan sebelum pengumuman harga RON95 pada kadar RM1.99 tahun lalu, yang menurutnya digambarkan indah pada awalnya tetapi tidak seperti yang diharapkan.

“Indah khabar dari rupa. Ibarat percikan bunga api yang hanya indah untuk sementara kemudian tenggelam ditelan kegelapan malam,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hafez turut menempelak pengurusan komunikasi kerajaan di bawah pentadbiran Anwar yang tidak berfungsi seperti diharapkan.

Katanya, kandungan ucapan Perdana Menteri sering dilihat berlebihan dari segi elemen promosi diri melalui pujian terhadap diri sendiri dan kerajaan, namun intipatinya tidak sekuat yang digambarkan.

Beliau juga menegaskan komunikasi krisis kerajaan ketika ini berbeza dengan pendekatan komunikasi berkaitan dasar atau inisiatif kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, kelemahan komunikasi krisis dapat dilihat dalam beberapa insiden yang menggemparkan negara, termasuk kes kematian kanak-kanak dikenali sebagai Zara Qayrina, letupan paip di Putra Heights serta isu pemalsuan dokumen pemain warisan dan isu kuil haram.

Mohd Hafez berkata, dalam situasi krisis atau isu besar, kepimpinan negara seharusnya tampil mengambil langkah mengawal keadaan semasa dan berkomunikasi secara jelas serta berkesan dengan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa komunikasi krisis yang baik bukan sahaja penting untuk menyampaikan maklumat tepat, malah berperanan menenangkan keadaan dan mengelakkan spekulasi berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan masyarakat.

Menurutnya, negara sebelum ini juga pernah berdepan pelbagai krisis, namun pengurusan komunikasi ketika itu dilihat lebih tersusun.

Sebagai contoh, katanya, dalam insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines Flight 370, pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkembangan kepada umum secara konsisten.

Beliau turut merujuk kepada pengurusan komunikasi semasa pandemik COVID-19, apabila Ketua Pengarah Kesihatan bersama Menteri Kesihatan ketika itu menyampaikan maklumat secara jelas, teratur dan konsisten kepada rakyat.

Dalam masa sama, Mohd Hafez berkata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tampil dengan ucapan yang menurutnya berfokus kepada rakyat.

Ia menurut beliau termasuk ucapan penghargaan terhadap kepatuhan dan sokongan rakyat serta usaha menyuntik keyakinan tanpa retorik dan jargon politik.

“Malangnya, komunikasi krisis hari ini tidak berfungsi seperti yang diharapkan meskipun negara dihimpit dengan pelbagai krisis yang semakin parah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -