
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menggesa kerajaan negeri agar memperketatkan peraturan penggunaan plastik bagi memupuk kesedaran alam sekitar dan tingkah laku mesra alam.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, berkata cadangan semakan caj beg plastik berpotensi menjadikan Selangor sebagai model negeri yang mengutamakan kelestarian demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Data Jabatan Alam Sekitar menunjukkan Selangor menghasilkan kira-kira 7,000 tan sisa pepejal setiap hari, dengan plastik sebagai komponen kedua terbesar di tapak pelupusan sampah,” jelasnya dalam kenyataan media.
Beliau menyokong penuh cadangan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, untuk menilai semula caj beg plastik daripada 20 sen kepada kadar baharu.
Menurut Muhammad Faizzuddin, dasar ‘Selangor Tanpa Beg Plastik’ bukan perkara baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan polisi yang diperkenalkan sejak pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2010 dan diperkuatkan oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 2017.
“PAS juga terlibat dalam merangka dan menguatkuasakan inisiatif hijau ini,” katanya.
Terdahulu, Jamaliah Jamaluddin menjelaskan bahawa kenaikan caj beg plastik akan diwajibkan melalui undang-undang kecil yang sedang dirangka oleh kerajaan negeri.
Kadar baharu ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dimuktamadkan. – HARAKAHDAILY 16/3/2026











